Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani 2024 Lahirkan Pemimpin Desa Berdaya Tahan

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani 2024 menjadi platform untuk melahirkan pemimpin desa yang berdaya tahan dan inovatif serta mampu membina komuniti desa lestari.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepimpinan desa pada masa kini turut memainkan peranan dalam pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan keharmonian masyarakat.

“Dalam era yang semakin mencabar ini, kepimpinan desa tidak lagi hanya berkisar kepada hal-hal pentadbiran kecil tetapi turut mencakupi aspek pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan keharmonian masyarakat.

“Melalui Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani Tahun 2024 ini, kami di KKDW ingin memastikan pemimpin desa dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk memenuhi keperluan komuniti mereka.

“Dengan kehadiran lebih 1,200 wakil daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dari seluruh negara, saya berharap ia menjadi titik permulaan bagi perubahan yang signifikan dalam landskap pembangunan luar bandar di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Pemimpin Desa Madani turut berperanan dalam merancang dan melaksanakan inisiatif yang menjana peluang ekonomi serta pendidikan.

“Pemimpin Desa Madani yang hadir di konvensyen ini merupakan ejen perubahan yang menghubungkan kementerian dengan rakyat di peringkat akar umbi. Mereka bukan sahaja penyelesai masalah dan penggalak perpaduan, malah berperanan dalam merancang, melaksanakan inisiatif yang dapat menjana peluang ekonomi serta pendidikan bagi golongan belia di samping meningkatkan keseluruhan kualiti hidup masyarakat desa.

“Melalui program-program seperti Geran SejaTi Madani yang boleh dipohon sehingga RM100,000, kita telah melihat contoh kejayaan seperti projek hidroponik di Kampar dan pusat eko-pelancongan di Lipis, Pahang. Projek-projek ini menunjukkan bagaimana inisiatif yang baik boleh membawa perubahan besar kepada ekonomi setempat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa pemimpin komuniti perlu mempunyai data yang lengkap dan membangunkan aplikasi dua hala untuk memudahkan komunikasi.

“Dalam majlis ini juga, saya telah mencadangkan empat langkah bagi memperkukuhkan kepimpinan luar bandar. Pertama, Pemimpin komuniti perlu mempunyai data yang lengkap mengenai kawasan mereka untuk memastikan bantuan dan program disalurkan dengan lebih berkesan.

“Kedua, membangunkan aplikasi dua hala agar ianya dapat memudahkan komunikasi antara Kerajaan dan komuniti serta mengelakkan pertindihan bantuan. Ketiga, jalankan program pertukaran pengalaman bagi memberi inspirasi dan idea baharu dari komuniti lain.

“…dan wujudkan ruangan khas di Karnival Usahawan Desa (KUD) pada tahun hadapan yang dikenali sebagai Kampung Desa Madani kerana saya akan memilih kampung yang terbaik dari kalangan yang terbaik,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut berharap agar konvensyen tersebut menjadi platform untuk bertukar idea dan pandangan bagi membina komuniti yang makmur.

“Harapan saya agar konvensyen ini bukan sahaja menjadi platform untuk bertukar idea, tetapi juga dapat melahirkan pemimpin desa yang berdaya tahan dan inovatif yang mampu membina komuniti desa yang lestari dan makmur untuk generasi akan datang. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.