KFL Tarik Pelaburan RM40 Bilion, Cipta 7,000 Peluang Pekerjaan Untuk Rakyat – Mohd Jafni

KULAI, 5 Nov – Inisiatif Kulai Fast Lane (KFL) yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah mencapai kejayaan yang membanggakan dengan menarik pelaburan bernilai lebih RM40 bilion sejak dilancarkan pada 2022.

Exco Kerajaan Negeri Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pencapaian ini mencatatkan peningkatan 171 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus menjadikan KFL sebagai program pelaburan paling berjaya di daerah Kulai setakat ini.

Beliau yang merupakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menjelaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja telah berjaya menarik pelaburan dalam sektor elektronik dan perkhidmatan, tetapi turut mencipta lebih 7,000 peluang pekerjaan di kawasan Kulai.

“Ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan dan menunjukkan potensi besar Kulai sebagai pusat pembangunan industri di negeri Johor,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Mohd Jafni turut menyatakan bahawa projek pembangunan industri baharu juga sedang giat dijalankan, termasuk di Kawasan Industri Sedenak yang terdiri daripada dua fasa – Step 1 yang hampir penuh dan Step 2 yang kini sudah 60 peratus dibeli oleh pelabur.

“Selain itu, 161.874 hektar tanah yang baru-baru ini dibeli oleh Eco World Development Group (EcoWorld) turut dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di Kulai.”

Jelasnya, sejak pelaksanaan KFL, proses kelulusan untuk memulakan pembangunan juga menjadi lebih pantas, dengan masa kelulusan kini hanya mengambil 14 bulan berbanding 24 bulan sebelum ini.

“Kejayaan ini turut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Johor Fast Lane (JFL) yang melibatkan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor, serta inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).”

Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri kini sedang giat memperkenalkan JFL yang melibatkan beberapa PBT seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat di negeri ini.

“Gerak kerja ini diharap dapat merangka perancangan dalam pelbagai aspek untuk memastikan kesinambungan kejayaan KFL dan meningkatkan daya saing ekonomi Johor pada peringkat global,” katanya.

Jelas beliau lagi, dengan pencapaian ini Kulai dilihat terus berkembang pesat sebagai hub industri dan perniagaan, sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi negeri Johor. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit