JUARA Antara Pendekatan UMNO Sabah Laksana Gerak Kerja Sistematik Menjelang PRN
KOTA KINABALU, 5 Nov – Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin, menegaskan bahawa komitmen penuh parti kini adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.
Beliau yang merupakan anggota Jawatankuasa Jabatan Urusan Pilihan Raya (JUARA) UMNO Sabah yakin bahawa persiapan rapi di setiap peringkat adalah kunci kejayaan parti dalam menghadapi cabaran menjelangnya PRN yang semakin hampir.
“Sebagai salah satu peranan utama dalam JUARA UMNO Sabah, kami bertanggungjawab untuk memantau dan menyelaras persiapan jentera parti di setiap kawasan operasi pilihan raya.
“Kami juga berusaha mendekati ahli parti serta rakyat di peringkat akar umbi dengan pelbagai program yang akan dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan yang lebih mantap dalam menghadapi PRN yang akan datang,” katanya kepada UMNO Online.
Jelas Musliati, usaha ini adalah untuk memastikan bahawa gerak kerja UMNO di akar umbi berjalan lancar dan dapat berkomunikasi secara terus dengan pengundi-pengundi di seluruh Sabah.
“Apa yang penting adalah setiap anggota jentera UMNO tidak hanya memiliki kefahaman yang mendalam tentang sistem pilihan raya, tetapi juga mampu berkomunikasi dengan pengundi secara berkesan, terutamanya golongan muda yang menjadi pengundi baharu.
“Kita mahu kepimpinan UMNO terus fokus kepada matlamat utama iaitu untuk menjadi parti yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan PRN yang akan datang ialah peluang untuk UMNO dengan membawa agenda perubahan yang lebih baik kepada masyarakat.”
Dalam masa yang sama, Musliati juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua bahagian-bahagian UMNO di Sabah atas kerjasama yang diberikan kepada JUARA dalam melaksanakan gerak kerja.
“Usaha untuk memperkuatkan parti akan terus dipertingkatkan, dan kami yakin dengan kerjasama semua pihak, UMNO Sabah akan lebih bersedia dan lebih teratur dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang ke-17 nanti.
“Dengan langkah persiapan yang tersusun dan pelbagai program yang akan dijalankan, kita berharap agar UMNO dapat terus memperkukuhkan sokongan rakyat dan memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya yang bakal datang,” tambahnya lagi. – UMNO Online