Inisiatif MARA Bantu Pelajar Cemerlang Atasi Halangan Kemiskinan Dihargai – Adnan

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan menjelaskan Program Pembangunan Bakat Muda Majlis Amanah Rakyat (MARA) adalah sebuah inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk membantu pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian pendidikan tinggi.

Pada masa yang sama beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana memberikan tajaan serta bimbingan kepada pelajar melalui program Young Talent Development Programme (YTP) bagi memastikan nasib dan masa depan anak ini terbela.

“Inisiatif ini diibaratkan seperti memberi kail berbanding ikan kepada anak Melayu Bumiputera bagi mengeluarkan mereka dari kemiskinan dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan taraf sosial mereka.

“MARA dapat menambah lagi peruntukan bagi program-program sebegini yang boleh membantu lebih ramai lagi anak-anak cemerlang yang dihimpit kemiskinan untuk mendapat peluang bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Pelajar cemerlang ini merupakan seorang budak kampung yang tinggal bersama datuknya, namun tidak bercadang melanjutkan pelajarannya ke peringkat matrikulasi walaupun telah menerima tawaran ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dalam bidang sains tulen kerana tidak mampu membayar yuran dan tiada wang sara diri akibat belenggu kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, semalam.

Kata beliau lagi, di Parlimen Kuala Pilah mempunyai sebuah bangunan milik MARA yang menjadi pilihan peniaga-peniaga bumiputera untuk disewa memandangkan lokasinya yang strategik serta harga sewaan yang rendah namun bangunan lama ini telah dirobohkan pada tahun 2015 untuk memberi jalan kepada pembinaan bangunan yang baharu.

“Selepas selesai dirobohkan, tiada kerja-kerja pembinaan semula malah sehingga kini selepas sembilan tahun langsung tiada tanda-tanda akan dinaikkan semula bangunan yang baharu. Ini menjadi satu kerugian memandangkan lokasi ini amat strategik dan sesuai untuk dijadikan pusat ekonomi.

“Sekiranya bangunan MARA yang baru dapat dibina, ia boleh disewakan kepada usahawan-uasahawan mikro, kecil dan sederhana bumiputera dengan harga yang berpatutan sekali gus mampu merancakkan kegiatan ekonomi,” jelasnya.

Seterusnya kata Adnan lagi, kerajaan dapat membina pelan pembangunan Bandar Diraja Seri Menanti yang merupakan sebuah kawasan yang amat berpotensi untuk menjadi sebuah destinasi pelancongan di Malaysia.

“Pembangunan semula Bandar Diraja Seri Menanti yang seluas 539.50 hektar ini sudah pasti memerlukan peruntukan yang besar dan semestinya tidak akan menjadi kenyataan tanpa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Pelan pembangunan ini tidak dapat lari daripada keperluan penglibatan Kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan sebagainya.

“Bandar Diraja ini mempunyai pelbagai tarikan yang melambangkan Adat Perpatih dan budaya masyarakat Minangkabau. Tarikan utama di Bandar Diraja ini adalan Istana Seri Menanti yang diperbuat daripada kayu belian tanpa menggunakan sebatang paku dan masih tersergam indah meskipun sudah berusia 122 tahun,” jelas beliau.

Namun kata beliau lagi, ketiadaan perancangan pembangunan yang jelas sebelum ini menyebabkan Bandar Diraja Seri Menanti terlihat agak mundur dan suram jika dibandingkan dengan Bandar-bandar Diraja yang lain sekali gus menyukarkan usaha untuk menjadikan sebagai sebuah destinasi tarikan pelancong.

“Pelan pembangunan Bandar Diraja Seri Menanti ini perlu diberikan pembugaran melalui sebuah pelan perancangan, pembangunan dan landskap yang holistik agar usaha untuk menjelmakan Seri Menanti sebagai sebuah Bandar Diraja dapat direalisasikan.

“Terdapat keperluan untuk memindahkan sekolah dan klinik kesihatan di sini ke lokasi baharu yang lebih sesuai dan strategik bagi menjadikan Bandar Diraja ini lebih mesra rakyat dan sesuai untuk dikunjungi oleh pelancong,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit