Sebanyak 116 Pemain Industri Utama Tandatangan MoU Perkasa Agenda JTDC

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sebanyak 116 pemain industri utama pelbagai sektor telah hadir dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri dalam memperkasa agenda Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC).

Katanya menerusi satu perkongsian di laman Facebook dan platform X, antara syarikat yang terlibat adalah seperti Mercedes Benz, ByteDance, Microsoft dan Legoland serta beliau turut bersyukur dan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sudi merasmikan JTDC pada Ahad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, Johor.

“Menerusi inisiatif ini, ia akan menyelaras semula latihan dan pendidikan supaya lebih relevan dengan keperluan semasa dan masa depan. Menjadi pusat sehenti bagi memudahkan pengurusan pengambilan tenaga kerja mahir serta memudahkan pelabur masuk ke Johor, dengan kerjasama Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J).

“Penghubung utama antara industri dan institusi pendidikan tinggi bagi memastikan graduan mendapat peluang kerjaya yang lebih kompeten dan berdaya saing.

“Memainkan peranan dalam mengumpul dan menganalisis data mengenai keperluan tenaga kerja di Johor dalam merangka strategi yang mampan untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir dan berkemahiran tinggi,” jelasnya.

Tambah Onn Hafiz lagi, Johor merupakan negeri perintis membangunkan JTDC di mana ia akan menjadi tonggak bagi usaha menampung keperluan bakat dan tenaga kerja mahir dalam kalangan anak muda yang diperlukan industri selari dengan pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan menetapkan gaji premium bagi diploma bermula RM4,000 manakala bagi ijazah RM5,000 bagi pusat data.

Justeru, Onn Hafiz menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kementerian, agensi-agensi persekutuan dan negeri serta pemain-pemain industri yang memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan inisiatif ini dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memenuhi keperluan industri terutamanya di Johor dan Malaysia secara keseluruhan.

“Saya yakin dan pasti dengan dasar yang komprehensif dan sokongan padu semua pihak, usaha ini akan membolehkan Johor mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030 dengan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, dan mempersiapkan anak muda kita untuk berdepan dengan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

“Semoga hubungan baik dan usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu memberi impak positif kepada kualiti hidup rakyat dan memakmurkan negeri serta negara ke tahap yang lebih baik. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit