Pekerja Bank Terjejas, Isu Bantuan Perayaan Dibawa Ke Mahkamah – Abdul Rahman

 

KUALA LUMPUR, 4 Nov –Timbalan Menteri Sumber Manusia (Kesuma) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengesahkan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu (MCBA) telah mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan kes pertikaian perusahaan di bawah seksyen 18.

Tegasnya, kes ini melibatkan isu bantuan perayaan yang diberikan kepada pekerja-pekerja bank yang menjadi ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).

“Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu (MCBA) telah memfailkan kes pertikaian perusahaan di bawah seksyen 18, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berhubung isu ‘Bantuan Perayaan’ kepada pekerja-pekerja bank yang diliputi di bawah skop keanggotaan kes pertikaian perusahaan di bawah seksyen 18.

“Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia telah mengadakan sebanyak tiga mesyuarat rundingan damai iaitu pada 19 Februari 2024, 21 Mac 2024 dan 27 Mac 2024 untuk membincangkan perkara ini bagi mencari penyelesaian.

“Memandangkan tiada penyelesaian dapat dicapai di antara MCBA dengan NUBE maka kes ini telah dirujuk oleh YB Menteri Sumber Manusia ke Mahkamah Perusahaan pada 16 April 2024,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah status siasatan laporan NUBE terhadap Menteri Sumber Manusia berhubung pembayaran bantuan perayaan bagi pekerja-pekerja bank susulan rundingan bersama pihak Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis menjelaskan bahawa hingga kini proses perundangan di Mahkamah Perusahaan sedang berjalan dengan lancar.

“Manakala di Mahkamah Perusahaan, sebanyak lima kali sebutan kes telah dijalankan di hadapan ‘Yang Arif Pengerusi’ dan kedua-dua pihak telah lengkap memfailkan dokumen-dokumen yang diarahkan oleh Mahkamah.

“Perbicaraan bagi kes ini telah ditetapkan pada pada 02 dan 03 Oktober 2024 dan sambung bicara pada 9 Oktober dan 4 November 2024,” jelas beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit