Mohamed Khaled Harap Kota Tinggi Jadi Penyumbang Kepada Sektor Pelancongan Negara

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap kawasan Kota Tinggi bakal menjadi penyumbang utama kepada sektor pelancongan negara.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah hadir ke Majlis Pelancaran Kembara Jauhar Wonderful Sedili 2024 pada hujung minggu lalu.

“Saya telah hadir ke Majlis Pelancaran Kembara Jauhar Wonderful Sedili 2024. Program ini merupakan cetusan idea daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaide Makmor dan disokong oleh pelbagai pihak terutamanya Tourism Malaysia Wilayah Selatan dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

“Saya amat mengalu-alukan usaha ini untuk dijayakan kerana ia hanyalah satu permulaan dan bukannya pengakhiran. Ini kerana Kota Tinggi mempunyai potensi yang sangat besar untuk dilonjakkan sebagai penyumbang kepada sektor pelancongan negara.

“Tiada tempat lain di Malaysia ini yang boleh menawarkan seperti apa yang ditawarkan oleh Kota Tinggi. Ia merupakan sebuah kota sarat dengan sejarah, wujudnya tempat tarikan pengunjung yang lahir secara semula jadi serta terdapatnya kawasan pertanian dan industri desa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, perkara tersebut memerlukan perancangan yang tersusun untuk memberi impak signifikan kepada ekonomi setempat.

“Namun, ia memerlukan satu perancangan yang tersusun bagi membongkar kekuatan Kota Tinggi untuk terjelma dalam peta pelancongan negara mengikut acuannya tersendiri. Malah, ia mampu dimantapkan lagi sekiranya digemblengkan kerjasama daripada pelbagai Kementerian dan agensi.

“Semoga segala usaha yang direncanakan ini mampu menghasilkan kejayaan yang akhirnya akan memberikan impak signifikan kepada ekonomi setempat. Malah, mungkin dalam tempoh sepuluh tahun lagi, Kota Tinggi bakal menjadi penyumbang utama kepada sektor pelancongan negara, Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit