Isu Pelaburan Khazanah: Dr Akmal Cadang RCI Ditubuhkan

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk melakukan siasatan mengenai isu pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa siasatan telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada umum sebagai pengajaran pada masa akan datang.

“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) atas pendirian tegas beliau.

“Untung dan rugi syarikat adalah perkara biasa. Tetapi, jika dana itu datangnya dari dana awam, maka satu siasatan yang telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada awam supaya ia dapat menjadi pengajaran pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut mengharapkan agar kerajaan mengambil tindakan tegas sekiranya telah terbukti berlakunya salah laku dalam mengendalikan perniagaan tersebut.

“Maka kami cadangkan agar RCI dapat ditubuhkan untuk menyiasat dua perkara yang menjadi polemik negara ini.

“Sama ada Fashion Valet ataupun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), jika ada salah laku yang wujud maka jangan biarkan waima seorang pun terlepas dari kartel-kartel yang menelan duit rakyat ini,” katanya.

Pada Sabtu media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak sesekali menghalang atau masuk campur berhubung siasatan Khazanah dan NAFAS.

Anwar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana salah laku yang sudah dibuktikan ke muka pengadilan.

Katanya, bukan saja SPRM bahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga jika ada mengesan mana-mana kesalahan perlu bertindak tanpa mengambil kira kedudukan mahupun status individu itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit