UMNO/BN Lahad Datu Lancar Gerak-17 di DUN Kunak, Hargai Sokongan Rakyat

KUNAK, 3 Nov — UMNO-Barisan Nasional (BN) Lahad Datu melancarkan Gerak-17 untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak dengan semangat dan komitmen tinggi dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Majlis pelancaran tersebut yang diadakan semalam telah dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan disambut dengan sokongan lebih 2,000 ahli dan jentera UMNO-BN dari seluruh negeri.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli dan pimpinan UMNO Sabah yang hadir dan turut serta dalam persiapan menghadapi pilihan raya.

Menurutnya kehadiran ramai jentera ini mencerminkan kesatuan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO-BN sebagai sebuah parti yang berpengalaman dan berwibawa untuk menerajui Sabah.

“Kami di UMNO-BN Lahad Datu sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Pengalaman dan sejarah panjang UMNO-BN dalam memajukan Sabah membuktikan bahawa rakyat terus mempercayai kami sebagai platform untuk pembangunan yang berterusan di negeri ini,” katanya kepada UMNO Online.

Sharif Musa juga menyatakan bahawa UMNO-BN kini semakin memahami aspirasi rakyat serta mengadaptasi pendekatan baharu yang relevan dengan landskap politik semasa.

Beliau percaya sokongan rakyat akan membantu UMNO-BN bangkit bukan hanya di DUN Kunak, tetapi di seluruh Sabah, sejajar dengan ucapan penuh semangat daripada Bung Moktar.

Ujarnya, dalam menghadapi PRN17, UMNO-BN Lahad Datu menekankan bahawa mereka tetap komited untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dan membawa perubahan positif, sejajar dengan semangat Gerak-17. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit