PRN Ke-17: UMNO/BN Sabah Perkukuh Parti, Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan – Bung Moktar

KUNAK, 3 Nov – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika tiada kesepakatan untuk bergabung dengan parti-parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, walaupun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini mengumumkan bahawa BN dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan kerjasama, termasuk kemungkinan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun, beberapa kenyataan dari parti tempatan dan pemimpin tertentu di negeri ini menunjukkan sebaliknya.

“Jika mereka bergerak solo, BN/UMNO Sabah tidak berhalangan. Saya mengajak semua parti yang ingin bertanding secara solo dalam PRN akan datang agar bersiap sedia untuk menerima tentangan sengit dari kami (BN/UMNO),” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Program Gerak 17 UMNO bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.63 Kunak, semalam.

Bung menegaskan bahawa UMNO/BN Sabah tidak gentar dan menasihati parti yang sudah mengumumkan keinginan untuk bertanding sendirian agar meneruskan keputusan tersebut.

“Biar kita bersabung seperti ayam jantan di gelanggang,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyatakan bahawa BN/UMNO Sabah lebih suka jika banyak parti mahu bertanding secara solo kerana menurutnya, ini bukanlah satu masalah lantaran BN/UMNO Sabah telah bersedia dan menyusun strategi yang baik untuk PRN kali ini.

“UMNO/BN merupakan sebuah organisasi lengkap. Jentera kita sudah bersedia. BN/UMNO telah melalui beberapa siri PRN/PRK, termasuk pengalaman mengenai penipuan, yang akan menjadi pengajaran bagi kita untuk lebih bersedia dan fokus mencapai kejayaan,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan gabungan parti lain untuk PRN ke-17, Bung menegaskan bahawa UMNO/BN Sabah hanya akan menjalin kerjasama berdasarkan prinsip menghormati perjanjian yang memberi manfaat kepada parti dan rakyat Sabah secara keseluruhan.

“Pengalaman lalu dari proses gabungan sebelumnya telah menunjukkan sumbangan UMNO/BN terjejas. Oleh itu, ini mematangkan UMNO Sabah. Sebarang keputusan untuk bergabung dengan parti lain tidak akan merugikan UMNO; yang penting, UMNO Sabah perlu diperkuatkan terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum itu, Bung juga melancarkan program yang sama untuk kawasan DUN N.61 Segama.

Dalam majlis tersebut, beliau mengajak pemimpin dan ahli parti di semua peringkat agar memberikan keutamaan untuk memperkukuhkan parti terlebih dahulu.

“Berkaitan kerjasama atau bergerak secara solo, ia akan ditentukan kemudian. Apa yang penting ketika ini adalah memperkuatkan jentera UMNO/BN. Apabila kita bersatu dan kuat, UMNO/BN akan dihormati,” jelas Bung.

Hadir sama di majlis tersebut adalah Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris; Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul; Ketua Pemuda UMNO Lahad, Datuk Seri Dr Anil Sandu, dan Adun Segama Datuk Dr Mohamadin Ketapi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit