Isu Infrastruktur Di Sabah Jadi Keutamaan Ahli Parlimen Beaufort Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Isu berkaitan masalah infrastruktur di Sabah, khususnya di kawasan Parlimen Beaufort, sentiasa mendapat perhatian Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching, semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Siti Aminah menekankan perlunya kerajaan meneliti pembangunan infrastruktur di Sabah bagi merealisasikan aspirasi yang digariskan malah meminta kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan, untuk menaik taraf beberapa jalan dan fasiliti kesihatan di Hospital Daerah Beaufort, demi memastikan masyarakat di kawasan tersebut mendapat akses kepada kemudahan asas dengan sempurna.

“Saya telah meminta agar penyiapan projek naik taraf Hospital Daerah Beaufort dapat dipercepatkan untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

“Ini termasuk mempertimbangkan kelulusan untuk melebarkan jalan utama dan laluan ke bahagian kecemasan hospital, yang ketika ini terlalu sempit, serta membina sebuah rumah transit untuk ahli keluarga menjaga pesakit dan membina sebuah kantin,” katanya.

Siti Aminah, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, turut membangkitkan isu ketidakseimbangan pembangunan antara negeri di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak, terutamanya dalam sektor pendidikan.

“Di kawasan Parlimen saya terdapat lima buah sekolah yang boleh dikategorikan sebagai sekolah daif yang perlu diganti dengan bangunan baru atau menjalani kerja-kerja pembaikan.

“Selain itu, peruntukan juga diperlukan untuk memindahkan tiga buah sekolah ke tapak baharu iaitu SK Kebulu, SJCK Lian Hua, dan SK Batu 60 yang sering kali dilanda banjir,” ujarnya kepada UMNO Online.

Dalam bidang pembinaan modal insan, Siti Aminah meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) agar dapat mempercepatkan pembinaan Kolej Profesional MARA di daerah Beaufort, di mana peruntukannya telah diluluskan sebelum ini.

“Seiring dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan TVET, saya berharap pelaksanaan projek ini dapat dipercepatkan bagi memberikan kemudahan kepada generasi muda untuk belajar dalam bidang kemahiran,” katanya.

Siti Aminah juga memohon KKDW untuk mewujudkan Mini Industri Halal bagi memproses makanan di kawasan Parlimen Beaufort, serta memberikan peruntukan untuk memperbaiki jalan-jalan perhubungan desa yang mengalami kerosakan.

Dalam perbahasan kali ini, katanya, beliau turut menekankan keperluan untuk membina sebuah balai bomba baru di daerah kecil Menumbok bagi menangani kes kebakaran dan kemalangan.

“Apabila berlaku kebakaran dan kemalangan di daerah tersebut, kebergantungan bantuan dari pihak bomba hanya boleh diperoleh dari daerah Kuala Penyu atau Beaufort, yang jaraknya mengambil masa lama.

“Ini menyebabkan tindakan segera untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan nyawa lambat dilakukan,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat membina balai bomba baru di Menumbok, selain memasang lampu di kawasan yang sering berlaku kemalangan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Siti Aminah juga menyentuh isu pembangunan belia, iaitu meminta Kementerian Belia dan Sukan meningkatkan fasiliti di Kompleks Sukan Beaufort, termasuk cadangan pembinaan sebuah dewan serba guna serta memasang lampu di kompleks sukan tersebut.

“Saya mohon dan merayu kepada kementerian berkaitan… bantu kami. Pegawai-pegawai kerajaan perlu turun padang, melihat kawasan kami, memahami keperluan rakyat, melaporkan, merancang, dan bertindak supaya semua usaha kerajaan MADANI dapat diyakini rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.