Usaha UMNO Labuan Pastikan Kemajuan Melalui Bantuan Kepada Pelajar

LABUAN, 2 Nov – UMNO Bahagian Labuan terus menunjukkan komitmen dalam memastikan kemajuan dilaksana dengan mengaplikasi perancangan pendidikan yang lebih baik untuk anak bangsa di kawasan ini.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan memaklumkan bahawa usaha dilakukan secara berterusan khususnya dengan memanfaatkan pelbagai bantuan pendidikan termasuklah sumbangan RM30,000 daripada UDA Holdings dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini.

“Sumbangan yang diterima ini akan disalurkan kepada 300 pelajar di Labuan, dengan memberikan setiap seorang RM100 ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau, inisiatif ini dilaksanakan melalui permohonan yang dibuat kepada Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abd Rahim, yang telah hadir ke Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

“Kami telah mengarahkan Sekretariat Pendidikan UMNO Labuan untuk bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Labuan bagi menyenaraikan nama-nama pelajar yang layak menerima bantuan tersebut.

“Dengan bantuan ini, kami berharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan memberi mereka dorongan untuk terus berusaha dalam pendidikan. Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk memajukan masyarakat dan negara,” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak UDA Holdings dan PTPTN atas sumbangan yang amat berharga ini.

“Kami berharap sumbangan ini akan menjadi pemangkin untuk anak-anak Labuan mengejar cita-cita mereka dan mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan. Usaha ini merupakan salah satu cara kami memastikan tiada pelajar yang terpinggir dalam mendapatkan pendidikan yang berkualiti,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UMNO Labuan untuk meningkatkan akses pendidikan dan memupuk semangat belajar di kalangan pelajar.

“Melalui pelbagai program yang dirancang, UMNO Labuan bertekad untuk memastikan generasi muda di kawasan ini mempunyai peluang yang baik untuk mencapai kejayaan akademik dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Dengan langkah ini, diharapkan dapat tercipta satu ekosistem pendidikan yang lebih baik di Labuan, iaitu setiap pelajar berpeluang untuk bersinar dan membawa perubahan positif kepada komuniti mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit