SABHA Sedia Jadi Tuan Rumah Kejohanan Bola Baling Peringkat Kebangsaan Tahun Hadapan – Awang Aslee

KOTA KINABALU, 2 Nov – Persatuan Bola Baling Negeri Sabah (SABHA) bersedia menjadi tuan rumah bagi penganjuran pertandingan Bola Baling kebangsaan dalam usaha meningkatkan tahap sukan itu di Sabah.

Presidennya, Datuk Awang Aslee Lakat, menyatakan komitmen ini, dengan menegaskan bahawa negeri ini mempunyai fasiliti yang mencukupi untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa sukan ini semakin mendapat tempat di hati peminat.

“Jika kami (SABHA) diberikan peluang untuk menganjurkan kejohanan bertaraf kebangsaan, sudah tentu kami bersedia untuk menjadi tuan rumah,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Kejohanan Bola Baling Terutup Sabah di Kompleks Tun Adnan Yayasan Sabah pagi tadi (Jumaat).

Majlis perasmian kejohanan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Usukan, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, dan turut dihadiri oleh Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), Datuk Pandakn Ahmad.

Sebanyak 44 pasukan menyertai kejohanan yang berlangsung selama empat hari ini, terdiri daripada 21 pasukan lelaki, 15 pasukan wanita, dan lapan pasukan bagi kategori 15U, dengan masing-masing terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita.

Menurut Awang Aslee, yang juga Naib Presiden MAHF, sambutan yang menggalakkan dalam kejohanan kali ini membuktikan sukan bola baling mula mendapat tempat di hati para pemain dan peminat.

“Sambutan luar biasa ini memberikan kami anjakan paradigma untuk menganjurkan kejohanan bola baling berskala besar, termasuk peringkat kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Awang Aslee, yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort, menyatakan bahawa kejohanan kali ini akan dijadikan platform untuk memilih pemain-pemain berkaliber bagi mewakili Sabah ke kejohanan Bola Baling peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kedah pada bulan Disember ini.

Terdahulu, dalam ucapannya merasmikan kejohanan tersebut, Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah memuji kesungguhan SABHA dalam menganjurkan acara ini, yang merupakan usaha murni untuk menarik lebih ramai golongan belia dalam aktiviti sukan, khususnya bola baling.

Katanya, kejohanan ini bukan sahaja menyemarakan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat, tetapi juga menjadi medan untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini melalui aktiviti sukan.

“Saya berharap usaha penganjuran ini akan diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja untuk menyemarakkan kegiatan sukan, tetapi juga untuk mencungkil bakat baru dalam sukan ini agar dapat diserapkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit