Aplikasi Perayaan Sebagai Peluang Perkukuh Perpaduan – Jeffery Nor

PUTATAN, 1 Nov – Sambutan perayaan masyarakat majmuk di negara ini adalah antara platform penting yang signifikan untuk memupuk dan memperkukuh tahap perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.

Dalam hal ini, Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed, berkata rakyat perlu mengambil peluang melalui perkongsian setiap perayaan untuk mengukuhkan lagi perpaduan dengan mengamalkan nilai-nilai murni, seperti hormat-menghormati, bertolak ansur dan sentiasa peka antara satu sama lain.

Menurut beliau, ini adalah perkara penting bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat, yang merupakan asas kepada kestabilan negara.

“Masih banyak yang perlu kita lakukan untuk memperkukuh tahap perpaduan antara kaum di negara kita.

“Justeru, anggota masyarakat tidak boleh merasa bosan untuk bercakap tentang keperluan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat kerana perpaduan adalah tunjang kestabilan negara selain menjadi faktor penting kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Deepavali di Sri Subramaniar Temple, Lok Kawi Putatan, semalam.

Menurut beliau, setiap warganegara yang bertanggungjawab dan ingin negara ini kekal aman, harmoni, serta stabil perlu memikul amanah untuk mempertahankan jambatan perpaduan yang telah diwariskan oleh pemimpin terdahulu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk menjaga dan memelihara perpaduan, khususnya anak-anak muda yang bakal menyambung legasi kepimpinan negara pada masa akan datang.

“Kita bimbang walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memperkukuhkan perpaduan, namun bibit-bibit perpecahan masih berlaku di kalangan masyarakat yang suka mengupas isu dalam konteks agama dan kaum, serta mencetuskan provokasi dan kontroversi yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam hal ini, Jeffery meminta rakyat agar tidak mudah dipengaruhi oleh golongan yang ingin merosakkan tahap perpaduan dan keharmonian yang sedia ada demi kepentingan politik mereka.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa perpaduan rakyat membolehkan kerajaan terus melaksanakan pelbagai perancangan, dasar, dan program pembangunan bagi memastikan negara, khususnya Sabah, terus membangun dengan pesat. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.