Wanita UMNO Hormati Keputusan Mahkamah, Kesempatan Najib Buktikan Kebenaran
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Wanita UMNO Malaysia menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang telah membuat keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membela diri dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Wanita UMNO melahirkan rasa simpati kepada Najib dan keluarga di atas keputusan ini kerana ia bukanlah berita seperti yang Wanita UMNO harapkan.
“Wanita UMNO percaya pasukan pembelaan Datuk Seri Najib akan menggunakan kesempatan yang ada ini untuk membuktikan kebenaran dan berharap Datuk Seri Najib diberikan keadilan sebaiknya.
“Diharapkan mereka yang terlibat dengan penyelewengan dalaman 1MDB dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Terdahulu dilaporkan, Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan tersebut setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi semua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan. – UMNO Online