Wan Rosdy Simpati Nasib Najib, Harap Keadilan Dapat Ditegakkan Dengan Saksama

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluahkan simpati beliau kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memutuskan bekas Perdana Menteri itu perlu membela diri dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau bagaimanapun meluahkan kepercayaan terhadap pasukan guaman Najib yang akan memanfaatkan peluang tersebut untuk membawa keadilan terhadap Najib.

“Saya melahirkan rasa simpati kepada Datuk Seri Najib Tun Razak atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan beliau untuk membela diri dalam kes 1MDB yang sedang beliau hadapi.

“Saya percaya Datuk Seri Najib dan pasukan peguam beliau akan menggunakan peluang ini untuk membuktikan kebenaran dan membersihkan nama beliau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Namun Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata beliau menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan berharap keadilan dapat ditegakkan dengan saksama.

“Saya sentiasa mendoakan agar Datuk Seri Najib dan keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang besar ini,” ujar beliau.

Untuk rekod Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan tersebut setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi semua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.