Kibar Bendera Asing Pencabulan Kedaulatan Negara, Pihak Berkuasa Perlu Ambil Tindakan – Sollehin
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan insiden mengibarkan bendera negara asing di Teluk Intan sebagai pencabulan jelas terhadap kedaulatan negara
Bagi memberi pengajaran, Ketua Penerangannya Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan menghukum pihak yang mengibarkan bendera negara asing tersebut.
“Kami menggesa pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dan memastikan tindakan sebegini tidak berulang. Penghormatan kepada undang-undang dan kedaulatan negara perlu ditegakkan dan tindakan ini akan menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mencabar maruah tanah tumpah darah kita ini.
“Permintaan maaf tidak memadai dalam kes ini; tindakan undang-undang mesti diambil bagi memberi pengajaran kepada sesiapa yang sewenang-wenangnya meremehkan maruah dan kedaulatan Malaysia.
“Setiap rakyat Malaysia perlu memahami bahawa prinsip Rukun Negara, terutama kesetiaan kepada raja dan negara, bukan sesuatu yang boleh dikompromi. Pengibaran bendera asing di tempat awam tanpa sebab sah menunjukkan kealpaan pihak terlibat terhadap kesetiaan mereka kepada negara.
“Malaysia dibina atas dasar pengorbanan yang besar oleh generasi terdahulu, dan mengizinkan insiden seperti ini tanpa hukuman tegas adalah seolah-olah meremehkan perjuangan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dalam pada itu sama berkata sebaliknya mengibarkan bendera negara asing adalah dibenarkan mengikut tujuan seperti dalam acara rasmi atau diplomatik.
Namun jelasnya, pengibaran bendera negara asing di sekolah atau tempat awam tanpa sebab yang kukuh bukan sahaja mencetuskan kekeliruan tetapi juga mencabar kesetiaan rakyat kepada tanah air.
“Insiden di Teluk Intan melibatkan perhimpunan haram yang diadakan tanpa permit. Ini jelas melanggar undang-undang Malaysia, dan tindakan undang-undang wajib diambil, bukan sekadar memohon maaf.
“Pemuda UMNO Malaysia menegaskan bahawa ini bukan isu politik atau perkauman, tetapi soal kedaulatan negara. Setiap rakyat yang mencintai negara ini perlu memahami tanggungjawab menjaga maruah Malaysia,” tegas beliau.
Terdahulu tular video perarakan sambil mengibarkan bendera China di Menara Condong Teluk Intan, sehingga menimbulkan perasaan kurang senang rakyat Malaysia.
Polis Perak kemudiaannya telah memanggil penganjur untuk dirakam keterangan berikutan perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu didapati telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. – UMNO Online