Hati-Hati Dengan Tawaran Lumayan Pekerjaan Di Luar Negara – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Timbalan Menteri Luar negeri, Datuk Mohamad Alamin menasihatkan rakyat negara ini supaya berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan iklan-iklan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan dan tidak realistik.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko demi tawaran gaji yang tinggi untuk pekerjaan yang tidak wujud kerana anda berkemungkinan akan meletakkan diri sendiri dalam keadaan yang amat bahaya dan jika  terdapat sebarang kemusykilan, semak tawaran pekerjaan tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia, Perwakilan Malaysia di Luar Negeri atau pihak berkuasa yang lain.

“Setakat 28 Oktober 2024, Kementerian Luar Negeri, melalui Perwakilan Malaysia di Luar Negeri, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan telah berjaya menyelamatkan 707 orang warganegara Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara dan menghantar mereka pulang ke Malaysia, manakala 199 orang lagi sedang dijejaki.

“Ini menjadikan jumlah warganegara Malaysia yang terlibat seramai 906 orang. Jumlah ini adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis dan individu itu sendiri. Fenomena yang dikenali sebagai sindiket penipuan tawaran pekerjaan, atau lebih dikenali sebagai, dengan izin, “job scam” ini telah mendapat perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat, di mana Kementerian ini juga sering mendapat laporan daripada Pejabat Khidmat Ahli-Ahli Yang Berhormat berkaitan kes ini.

“Kementerian Luar Negeri akan meneruskan usaha untuk mengesan mereka dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Sekiranya laporan telah diterima daripada mana-mana pihak termasuk ahli keluarga atau individu itu sendiri, Kementerian ini melalui Perwakilan Malaysia di Luar Negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan bantuan untuk mengesan keberadaan mereka, memudahcara untuk melepaskan atau menyelamatkan mereka daripada sindiket penipuan dan seterusnya penghantaran pulang mereka ke Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen semalam.

Terdahulu, Ahli parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham meminta Menteri Luar Negeri menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang telah ditipu untuk ke luar negara dan dipaksa atau melibatkan diri mereka dalam penipuan atas talian dalam lima tahun terkini (2020-2024) dan berapakah kes dimana mereka atau keluarga mereka telah meminta pihak Kerajaan untuk membebaskan mereka.

Mohamad Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis seterusnya menambah pelbagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sindiket penipuan pekerjaan ini, termasuk memanfaatkan platform media sosial dan menerusi program-program diplomasi awam di seluruh negara.

“Baru-baru ini, dengan izin, “Pocket Talk” yang bertemakan sindiket penipuan pekerjaan telah diadakan pada 20 Oktober 2024 di Kota Kinabalu, Sabah sempena Program MADANI Rakyat Zon Sabah. Kementerian Luar Negeri akan meneruskan usahausaha ini dan turut serta dalam kempen seumpama ini secara aktif kerana program-program ini dilihat sebagai titik sentuhan bersama orang awam,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit