Pencapaian Kerajaan Negeri Pahang Bukti BN Cekap Memerintah – Shahaniza
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Segala pencapaian yang dikecapi oleh Kerajaan Negeri Pahang menjadi bukti kecekapan pemerintahan Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa Konvensyen BN Negeri Pahang yang berlangsung pada Ahad telah dihadiri lebih 1,500 pemimpin parti-parti komponen.
“Konvensyen Barisan Nasional Negeri Pahang telah pun melabuhkan tirainya. Dengan kehadiran lebih 1,500 pemimpin parti-parti komponen seperti UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN, ia melambangkan sebuah kekuatan dan kesepaduan BN di Negeri Pahang.
“Pelbagai cadangan dan harapan disuarakan oleh para jurucakap yang telah mewakili parti-parti termasuklah wakil veteran dan mahasiswa turut diberi peluang.
“Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi BN, meniup api semangat seluruh kepimpinan bahagian-bahagian dari seluruh Negeri Pahang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan rakyat untuk berfikir secara rasional dengan mengekalkan kerajaan Negeri Pahang sedia ada ini.
“Insya-Allah, seluruh parti komponen BN bersatu hati dan membulat tekad untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menerajui Pahang ke arah kegemilangan.
“Hutang negeri menurun, pendapatan menaik, kadar kemiskinan tegar sifar, rizab Melayu bertambah dan banyak lagi pencapaian atau bukti kecekapan pemerintahan BN di Pahang.
“Jika ditukar kerajaan sedia ada ini, belum tentu yang mereka janjikan akan tertunai. Jangan dimarahkan nyamuk, habis satu kelambu kita bakar,” katanya. – UMNO Online