Situasi Semasa Sabah Terkawal, Tingkat Operasi Aset Dan Penguatkuasaan Keselamatan – Shamsul Anuar

 

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan melalui pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sentiasa komited untuk memelihara kedaulatan dan meningkatkan keselamatan serta ketenteraman awam di negeri Sabah.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ini kerana kedudukan strategik Sabah yang bersempadan dengan negara Filipina dan Indonesia secara langsung mendatangkan ancaman keselamatan seperti penyeludupan barangan dan senjata, kemasukan pendatang haram, kumpulan ekstremisme dan ancaman penculikan untuk tebusan.

“Secara keseluruhannya, situasi semasa ancaman keselamatan di Sabah adalah terkawal menerusi atur gerak pengoperasian aset dan anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasa serta pelaksanaan pelbagai inisiatif keselamatan,” katanya.

Shamsul berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ir Shahelmey Yahya (Putatan) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau penguatkuasaan dilakukan menerusi pelaksanaan Operasi SANGGAH di bawah seliaan ESSCOM dilakukan termasuk Operasi GASAK Laut dan Darat bagi membanteras elemen-elemen yang mempunyai kaitan dengan anasir asing, militan dan tali barut.

Manakala Operasi Bersepadu dan Operasi Bersepadu Khas bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap elemen-elemen jenayah rentas sempadan turut dilakukan.

Katanya Operasi Pusat Pemeriksaan Darat atau Road Check Point (RCP) Kalabakan dan Sapi Nangoh, Beluran di laluan utama menghubungkan kawasan pantai Timur dan Barat Sabah juga dilakukan bagi membasmi aktiviti penyeludupan dan penyusupan PATI di kawasan daratan ESS Zone.

“Operasi Pangkalan Pemeriksaan di Laut atau Sea Check Point melalui penguatkuasaan ke atas pergerakan kapal-kapal bukan konvensional dan bot-bot nelayan negara jiran di laluan khas atau designated routes yang ingin menjalankan aktiviti perdagangan barter trade atau transhipment di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan perairan ESS Zone juga kekal dikuatkuasakan di enam (6) buah daerah iaitu Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“APMM juga telah melaksanakan operasi berjadual iaitu Operasi Sejahtera dan Operasi Pluto Timur yang mana aset APMM sentiasa berada di laut untuk melaksanakan rondaan. Operasi Khas Putih juga telah mula dilaksanakan sejak Februari 2024 melibatkan kerjasama APMM dan TLDM,” ujar beliau.

Katanya lagi ia juga melibatkan pengukuhan dan peluasan kerjasama pertukaran serta perkongsian maklumat perisikan melibatkan pelbagai Jabatan/Agensi dalam negara dan pihak berkuasa dari Filipina dan Indonesia.

Tambah Shamsul, Pasukan Gerakan Am PDRM juga telah menambah dua Batalion PGA baharu di Sabah iaitu Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak bagi memastikan kawalan sempadan negara terus menerus dikawal dan dipantau secara holistik. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.