Konvensyen BN Pahang… Medium Salur Perkhidmatan Terbaik Kepada Rakyat – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pahang penting untuk parti terus bergerak aktif dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO menzahirkan rasa bangga dengan penyertaan seluruh pemimpin dan ahli BN Negeri Pahang serta peringkat pusat yang hadir pada konvensyen tersebut.

“Pada Ahad, kepimpinan dan ahli BN di seluruh Pahang telah berhimpun di Temerloh bagi menjayakan Konvensyen BN Negeri Pahang 2024 yang dirasmikan Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Selaku Pengerusi BN Negeri Pahang, saya sungguh terharu, berbangga dengan penyertaan seluruh kepimpinan dan ahli BN Negeri Pahang termasuk kepimpinan di peringkat pusat yang hadir dengan semangat perpaduan serta muafakat tinggi.

“Konvensyen ini cukup penting untuk BN terus bergerak aktif dalam komuniti, mendengar keluh kesah rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konvensyen tersebut dan berdoa agar Allah SWT sentiasa memberkati perjuangan BN.

“Terima kasih kepada semua wakil-wakil parti komponen yang telah menyampaikan ucapan membawa suara parti dan akar umbi.

“Begitu juga terima kasih kepada pihak urusetia dan jawatankuasa penganjuran yang telah berusaha menjayakan konvensyen yang penuh bermakna ini.

“Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati perjuangan Barisan Nasional untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat, negeri dan negara ini,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.