Konvensyen BN Pahang: Manifestasi Komitmen Perkukuh Perpaduan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 28 Okt – Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pahang menjadi manifestasi komitmen bersama untuk memperkukuhkan perpaduan dan merangka strategi berkesan agar parti terus relevan dalam landskap politik.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, konvensyen itu juga menjadi satu inisiatif untuk memperbaharui semangat parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Konvensyen BN Pahang yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Temerloh adalah manifestasi komitmen bersama memperkukuhkan perpaduan dan merangka strategi berkesan demi memastikan parti ini terus relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks.
“Bersempena sambutan Jubli Emas Barisan Nasional tahun ini, konvensyen ini merupakan satu inisiatif untuk menyatukan kekuatan, memperbaharui semangat dan menyiapkan parti untuk menghadapi PRU16.
“Di dalam ucapan, saya telah menekankan bahawa perpaduan erat di antara komponen-komponen parti di bawah Kerajaan Perpaduan agar dapat menjamin kestabilan politik dan meneruskan usaha khidmat bakti kita kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, usaha untuk menarik sokongan dan keyakinan rakyat mestilah diteruskan di samping memberi perhatia kepada generasi muda.
“Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tioman dan Pelangai adalah satu permulaan yang baik, namun usaha menarik sokongan dan keyakinan rakyat mesti diteruskan.
“Selain itu, saya juga menyeru agar generasi muda turut diberi perhatian. Mereka bukan sahaja pewaris masa depan parti tetapi juga tonggak utama kepada kejayaan yang kita hasratkan.
“Pelbagai program anak muda telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan saya berharap kita terus menyelami suara anak muda agar mereka terus yakin dengan kemampuan BN,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa prestasi memberangsangkan Kerajaan Negeri Pahang adalah hasil kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan.
“Dalam aspek ekonomi pula, prestasi memberangsangkan Kerajaan Negeri Pahang adalah perkara yang boleh dibanggakan. Dari kutipan hasil sebanyak RM1.3 bilion hingga pelaburan asing melebihi RM16.1 bilion, semua ini adalah pencapaian hasil kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri.
“Bagi tahun 2024, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sendiri telah memperuntukkan sebanyak RM483 juta untuk terus menyokong pembangunan di negeri ini. Ini semua adalah kejayaan-kejayaan yang mampu kita capai hanya dengan mengeratkan perpaduan yang akhirnya menjamin kepada urus tadbir yang lebih berkesan. Insya-Allah.
“Marilah kita bersama-sama bergerak ke hadapan dengan tekad baharu, membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat dan tanah air yang kita cintai ini. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online