Industri Biojisim Bakal Wujudkan 33,000 Peluang Pekerjaan Menjelang 2030 – Johari

 

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan menjelang tahun 2030, industri biojisim dijangkakan akan menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata melalui ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri tersebut.

“Hal ini dijangkakan dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor biojisim menjelang tahun 2030.

“… dalam industri penghasilan biopelet, industri penjanaan tenaga daripada biojisim, industri pulpa dan kertas, industri karbon terawat dan penghasilan biobaja,” katanya.

Johari berkata demikian bagi menjawab soalan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun-PN) yang mahu mengetahui inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut Johari malah memaklumkan pihaknya melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada ketika ini secara konsisten melaksanakan aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) dalam teknologi hijau.

Katanya melalui aktiviti R&D ia bertujuan mengenal pasti bahan sisa sawit yang sebelum ini dianggap sebagai bahan buangan untuk diintegrasikan semula ke dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.

“Sebagai contoh, empty fruit bunch (EFB), mesocarp fibre dan palm kernel shell merupakan sisa biojisim sawit yang boleh menjana tenaga boleh diperbaharui. Bahan sisa ini akan dibakar di dalam dandang (boiler).

“Wap yang dihasilkan akan menggerak turbin untuk menjana tenaga elektrik yang dapat dimanfaatkan semula dalam kilang sawit,” katanya.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Titiwangsa itu seterusnya berkata proses penghasilan minyak sawit mentah (CPO) di kilang sawit akan menghasilkan air buangan yang dikenali sebagai efluen kilang minyak sawit (POME) yang kemudiannya akan melepaskan gas metana.

“Kilang-kilang sawit dapat membangunkan infrastruktur untuk memerangkap biogas daripada POME untuk mewujudkan tenaga boleh diperbaharui. Sisa yang tertinggal selepas proses pemerangkapan biogas juga boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan biobaja.

“Selain itu, EFB dan oil palm trunk dapat dimanfaatkan sebagai bahan sungkupan (mulch) yang boleh menambah baik keadaan tanah di lading,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit