Bung Moktar Umum Jeffrey Nor Calon BN Kerusi DUN Tanjung Keramat Untuk PRN Sabah

KOTA KINABALU, 28 Okt – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) akan datang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, beliau melahirkan keyakinan kepada Jeffrey Nor akan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di Tanjung Keramat sekali gus memastikan ia mampu merampas semula kerusi dun terbabit.

Menurutnya, setakat ini hanya calon DUN Tanjung Keramat diumumkan lebih awal memandangkan sebelum ini penyandangnya juga merupakan Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya digantung keahliannya sebagai ahli UMNO selama enam tahun.

“Manakala di tempat lain belum lagi saya umumkan… kita akan tengok keadaan mungkin ada beberapa kerusi DUN lagi akan diumumkan lebih awal, kita tunggu dan lihat perkembangannya nanti.

“Setakat ini perbincangan awal antara kerusi UMNO Sabah akan bertanding sudah dibincangkan namun belum tiba masanya untuk kita diumumkan, tetapi BN akan bertanding tidak kurang daripada apa kita bertanding pada pilihan raya lalu iaitu sebanyak 34 kerusi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Gerak17, di sini, baru-baru ini.

Bung Moktar menegaskan bahawa, ketika ini UMNO Sabah bukan berada dalam Kerajaan Negeri Sabah berikutan semua wakil rakyatnya tidak pernah diberikan apa-apa peruntukan termasuk semua jawatan sepenuhnya berada di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Mengenai kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) ini kedua-dua Presiden Parti sudah menunjukkan persefahaman, mereka memberikan persetujuan untuk PRN di Sabah adalah percubaan sebelum konsepnya digunakan kepada PRU nanti,” jelas Bung Moktar.

Bagaimanapun katanya, setakat ini UMNO Sabah masih lagi membuka ruang serta mempelawa mana-mana parti tempatan lain yang bersedia untuk bekerjasama dalam PRN-17 ini nanti. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.