‘Blue Print The Greater Kedah’: Jelas Kerajaan Sanusi Ketandusan Idea, Jual Ilusi Dan Mimpi – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 28 Okt – UMNO Kedah melihat ‘Blue Print The Greater Kedah’ yang dilancarkan semalam hanyalah sebuah dokumen ‘ciplak’ dan jelas Menteri Besar dan Barisan Exco negeri terbabit sudah ketandusan idea.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata berdasarkan penilaian awal, 90 peratus daripada penyata perancangan pembangunan ternyata diambil daripada perancangan berimpak tinggi Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Menurut beliau hampir keseluruhan daripada projek-projek berimpak tinggi yang dinyatakan di dalam dokumen ‘blue print’ tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat dan bukan negeri ataupun inisiatif SG4.

“UMNO Kedah percaya ini adalah usaha-usaha terbaru Menteri Besar dan Barisan Exco yang sedang dan cuba ‘memperbaharui’ strategi menjual mimpi dan harapan kepada rakyat negeri Kedah. UMNO Kedah menggesa agar Menteri Besar segera keluar daripada pendekatan politik murahan ini serta mula menjanjikan sesuatu yang nyata dan praktikal kepada rakyat.

“Kita melihat dokumen ‘Blue Print The Greater Kedah’ ini sudah hilang nilai, dan tidak sama sekali membawa sebarang reputasi akibat kegagalan Menteri Besar dan Barisan Exco melunaskan janji-janji dan harapan yang telah disajikan kepada rakyat sebelum ini.

“UMNO Kedah menyifatkan kegagalan Menteri Besar menjelaskan komitmen 2.5 Billion yang perlu dibayar oleh Tahira Air, kegagalan pembangunan Widad Langkasuka di Langkawi daripada pelabur Timur Tengah yang dianggarkan sekitar RM45 Billion, dan kegagalan mengekalkan pelabur bagi projek Kedah Rubber City sudah cukup menjelaskan kebimbangan yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi yang juga Ketua UMNO Merbok, pihaknya percaya percaya sekiranya Blue Print The Greater Kedah ini  dianggap sebagai satu senjata politik baru Menteri Besar yang segar dan ampuh, ianya adalah satu strategi yang sangat gagal.

“UMNO Kedah yakin ‘Blue Print The Greater Kedah’ ini sudah pun kalah sebelum bertempur disebabkan reputasi pembohongan dan amalan Menteri Besar yang menjual mimpi dan harapan,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.