#PeduliRakyat: UMNO Lahir Daripada Perut Rakyat, Sebati Dengan Politik Khidmat – Mohd Rafi

LABUAN, 27 Okt – Satu hakikat yang tidak boleh disangkal dan harus diakui UMNO dalam apa juga keadaan baik ketika menjadi kerajaan atau pembangkang, amat sinonim dengan politik khidmat iaitu memberikan perkhidmatan kepada rakyat sama ada yang menyentuh hal ehwal kebajikan mahupun membantu menyelesaikan masalah.

Dalam hal demikian, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berpandangan ini adalah kerana sifat UMNO itu sendiri yang lahir daripada perut rakyat dan meletakkan kebajikan serta kepentingan rakyat di hadapan dalam apa juga tindakan.

“Dalam semua parti politik yang ada di Malaysia ini, yang betul-betul keluar daripada perut rakyat adalah UMNO. UMNO ini susah atau senang… jadi kerajaan atau pembangkang, UMNO akan tetap kembali kepada rakyat.

“Kerana inilah yang kita diajar dari dulu, sama ada kita menjadi pemimpin di peringkat atasan atau di peringkat cawangan, kita diajar untuk berkhidmat memperjuangkan dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Mohd Rafi, walaupun UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah di Parlimen Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, tetapi semangat berkhidmat kepada rakyat tetap diteruskan secara konsisten.

Sebagai contoh, UMNO Bahagian Labuan melalui Sekretariat Kebajikan sejak Mac 2023 bergiat aktif mengadakan Program Peduli Rakyat.

Program Peduli Rakyat yang dijadikan aktiviti mingguan merupakan satu inisiatif bantuan yang dicetuskan oleh Mohd Rafi, memberi sumbangan sejumlah 100 kilogram (kg) beras kepada setiap keluarga yang mahu melangsungkan majlis perkahwinan.

Tidak ketinggalan kepada keluarga yang kematian orang tersayang dengan 50 kg beras manakala bekalan diperolehi daripada berlainan pasaraya dan pembekal di seluruh Labuan.

Sehingga kini, UMNO Bahagian Labuan telah menyumbang kepada lebih dua ratus penerima dengan melibatkan sejumlah 20 tan beras.

Baru-baru ini, kru UMNO Online berpeluang menyertai Mohd Rafi bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Labuan melaksanakan Program Peduli Rakyat di beberapa buah kampung di bahagian utara pulau, antaranya di Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Labu dan Kampung Lubuk Temiang.

Selain itu, Mohd Rafi juga menerima kunjungan hormat daripada anak-anak muda pelopor kelab motorsikal kawasan itu yang akan menganjurkan himpunan motorsikal antarabangsa ‘Labuan International Bike Week’ di Dataran Labuan pada 1 hingga 3 November nanti.

Mengulas lanjut, Mohd Rafi memberi komitmen akan meneruskan program tersebut sepanjang perkhidmatannya.

“Insya-Allah Program Peduli Rakyat ini saya akan teruskan sampai bila-bila sama ada (BN) menang atau kalah pilihan raya, kerana niat saya jadikan politik ini sebagai satu ibadah.

“Jadi, program sumbangan beras ini sudah pasti akan dapat balasan daripada Allah SWT kerana kita bersedekah, bantu masyarakat dengan program-program seperti ini,” katanya.

@mohdrafiallihassan

Jelasnya juga, bantuan beras ini melibatkan semua kaum dan tidak terhad hanya kepada ahli UMNO/BN sahaja.

“Program Peduli Rakyat ini melibatkan semua bangsa, kaum, ahli UMNO ataupun bukan. Ahli parti-parti lain juga kita bantu dan Alhamdulillah kami telah datang ke rumah-rumah pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti lain dan mereka rasa terharu dengan bantuan yang UMNO berikan walaupun sebelum ini mereka tidak pernah mengundi atau menyokong UMNO dan BN di Labuan.

“Kita tidak memilih warna kulit masyarakat dengan bantuan Peduli Rakyat ini,” tambahnya.

Tambah Mohd Rafi, kekalahan UMNO/BN di Parlimen Labuan dalam PRU lalu tidak mematahkan semangat untuk parti terus memperjuangkan nasib rakyat.

“Kami, UMNO Bahagian Labuan sekarang berada dalam keadaan kalah pilihan raya tetapi alhamdulillah kekalahan itu tidak menyebabkan kita berhenti memperjuangkan dan bantu menyelesaikan nasib rakyat.

“Saya memang praktikkan perkara ini kerana inilah sebenarnya UMNO dan saya harap semua UMNO Bahagian seluruh negara jangan menidakkan kekalahan itu untuk kita tidak berkhidmat kepada masyarakat kerana inilah UMNO sebenarnya.

“UMNO tidak boleh berpisah dengan rakyat walau apa pun berlaku dengan keadaan politik dalam negara,” serunya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.