UMNO Teruskan Komitmen Untuk Rakyat, Perkukuh Perpaduan – Mohd Zaidy
JEMPOL, 25 Okt – Dalam usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat, UMNO menunjukkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk turun padang melaksanakan khidmat bakti.
Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menekankan bahawa UMNO bukanlah parti bermusim, tetapi sentiasa bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada semua golongan masyarakat.
Ujarnya, program-program kebajikan ini menunjukkan keprihatinan UMNO terhadap individu yang memerlukan dan usaha untuk mendekati rakyat.
“UMNO berkomitmen untuk memastikan setiap rakyat merasa dihargai dan terjamin kebajikannya kerana sememangnya usaha sedemikian telah sebati dengan parti ini,” ujarnya kepada UMNO Online.
Jelas beliau, melalui inisiatif ini, UMNO membuktikan kesungguhan dalam menjaga kebajikan rakyat, serta memperkukuh semangat perpaduan dalam masyarakat yang dilaksanakan setiap masa.
Terdahulu beliau telah menyantuni masyarakat di FELCRA Rompin dengan menziarah mereka yang uzur dan kurang bernasib baik.
Mohd Zaidy juga memaklumkan bahawa gerak kerja untuk rakyat dibuat tanpa melihat kepada ideologi politik dan juga melihat kepada perbezaan malah setiap bangsa disantuni dengan baik.
Dalam hal ini, beliau menyampaikan sumbangan sempena menjelangnya Hari Deepavali di Balai Raya Pekan Rompin, yang menyaksikan seramai 200 orang penerima diberikan sumbangan.
Dalam ucapan beliau, Mohd Zaidy mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2024 dan berharap sambutan kali ini membawa kemakmuran dan kegembiraan kepada seluruh keluarga masyarakat India, khususnya di kawasan DUN Jeram Padang.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ketua Cawangan MIC Kawasan DUN Jeram Padang dan barisan kepimpinan MIC Bahagian Jempol.
Ujarnya, majlis sedemikian mencerminkan komitmen UMNO dalam menjaga kebajikan masyarakat dan memperkukuh perpaduan dalam komuniti. – UMNO Online