Semoga Datuk Seri Najib Dibebaskan, Keadilan Sebenar Dapat Ditegakkan – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dibebaskan dan keadilan sebenar dapat ditegakkan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan kenyataan media Mohd Najib pada Khamis dibuat dengan suci hati dan lahir dari sanubari ikhlas.

“Saya meneliti kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak bertarikh 24 Oktober 2024. Saya dapat merasakan bahawa kenyataan tersebut telah dibuat dengan suci hati dan lahir dari sanubari beliau yang ikhlas.

“Saya berpandangan bahawa kenyataan media tersebut juga menjelaskan betapa beliau sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ketika itu, sentiasa memikirkan hanya yang terbaik untuk rakyat… sehingga ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas keprihatinan beliau untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, kenyataan tersebut menunjukkan Mohd Najib berjiwa besar dan turut berharap agar dalang kes 1 Malaysia Development Berhad (MDB) di bawa ke muka pengadilan.

“Kenyataan beliau yang secara terbuka memohon maaf kepada rakyat Malaysia bukanlah satu kenyataan meraih simpati, tetapi adalah satu tindakan berjiwa besar, sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang beliau percaya sebenarnya tidak dilakukan dan setelah diperdaya oleh mereka yang mengambil kesempatan.

“Saya juga berdoa dan berharap agar Datuk Seri Najib dibebaskan dan keadilan yang sebenar dapat ditegakkan dengan membawa dalang kes 1MDB ke muka pengadilan,” katanya.

Pada Khamis media melaporkan, Mohd Najib memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung skandal yang melibatkan 1MDB semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, bekas Perdana Menteri itu mendakwa telah dihukum atas tanggungjawab yang dipikulnya walaupun dengan jelas beliau bukanlah dalang kepada skandal itu.

Malah tambahnya, beliau tidak pernah sekalipun bersengkongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang merupakan individu utama dalam kes tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.