Dr Zambry Harap PPPTM 2026-2035 Buah Hasil Terbaik Untuk Pendidikan Tinggi
KUALA LUMPUR, 25 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap agar Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 akan membuahkan hasil terbaik untuk pendidikan tinggi negara.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa sesi libat urus bersama kumpulan berkeperluan khas (OKU) telah diadakan pada Khamis.
“KPT di bawah seliaannya Sekretariat PPPTM 2026-2035 sedang dalam fasa akhir menyediakan laporan penuh PPPTM ini. Beberapa siri libat urus bersama semua pemegang taruh sudah diadakan. Petang tadi telah diadakan sesi libat urus bersama kumpulan berkeperluan khas (OKU).
“Wakil-wakil daripada pelbagai persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan persendirian turut hadir untuk menyampaikan cadangan dan idea berkaitan OKU bagi dimasukkan dalam PPPTM nanti,” katanya.
Jelasnya, sesi libat urus tersebut merupakan komitmen KPT untuk mendekati para pemegang taruh bagi menambahbaik dokumen PPPTM sebelum dikemukakan pelaksanaannya.
“Sesi seperti ini merupakan komitmen KPT bagi mendekati para pemegang taruh, mendengar secara terus dan menambahbaik dokumen PPPTM sebelum dikemukakan pelaksanaannya pada tahun 2026 untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.
“Saya turut berpesan kepada Pengerusi Jawatankuasa PPPTM, Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail agar kita dapat menyediakan pelan komprehensif, dalam masa sama boleh ditambahbaik mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Doakan segala usaha ini membuahkan hasil terbaik untuk pendidikan tinggi negara,” katanya.
Untuk rekod, PPPTM 2026-2035 akan siap pada hujung tahun ini, bagi menggantikan PPPTM 2015-2025 yang bakal tamat tahun hadapan.
Pelan baharu itu mencorakkan hala tuju pendidikan tinggi negara selaras dengan perkembangan teknologi semasa bagi tempoh 10 tahun akan datang. – UMNO Online