UMNO Lahad Datu Siap Sedia Hadapi PRN Sabah, Sharif Musa Tegaskan Keutamaan Untuk Parti

LAHAD DATU, 24 Okt – Dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi, Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, menekankan pentingnya semua jentera dan ahli parti bersedia menggempur dan berjuang untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) demi kelangsungan UMNO Sabah.

Katanya, walaupun penggal penuh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada Oktober 2025, namun terdapat kemungkinan PRN ke-17 akan diadakan lebih awal.

“Politik khidmat bakti yang berpaksikan nilai dan makna adalah DNA kita untuk terus maju ke hadapan, memperjuangkan hak-hak rakyat yang selama ini hanya dijanjikan dan dipergunakan oleh segelintir pihak,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau mengingatkan kepada mereka yang ingin menjadi calon atau wakil rakyat pada PRN-17 Sabah.

“Pertama, kita perlu memiliki winning mentality. Apabila kita mempunyai mentaliti ini, rakyat akan merasai keyakinan kita. Mereka akan menyedari bahawa UMNO-BN adalah satu-satunya pilihan yang mampu membela nasib mereka, khususnya rakyat Sabah,” ujarnya.

Kedua, beliau mengingatkan bahawa semua politik adalah politik kawasan.

“Walaupun sentimen nasional mempunyai kesan, perkara pokok bagi pengundi adalah kehidupan harian di kawasan dan kampung mereka. Pengundi ingin keperluan harian dan permintaan asas mereka dijaga dengan baik,” tambah Sharif Musa.

Dengan semangat juang yang tinggi dan komitmen untuk mendengar suara rakyat, katanya, UMNO Lahad Datu bersedia untuk menghadapi cabaran PRN yang akan datang dan memastikan kepentingan rakyat terjaga.

Terdahulu beliau telah mengadakan mesyuarat bersama anggota jawatankuasa UMNO Bahagian Lahad Datu bagi menyiapkan laporan lawatan Juara UMNO Negeri ke Lahad Datu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.