RM450,000 Diperuntuk Untuk Kurangkan Masalah Banjir Di Lenggong – Shamsul Anuar
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Sebanyak RM450,000 telah diperuntukkan untuk mengurangkan masalah banjir di Lenggong terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, peruntukan tersebut adalah untuk melaksanakan beberapa kerja penting bagi mengatasi masalah tersebut.
“RM450,000 diperuntukan untuk melaksanakan kerja-kerja penting di beberapa kawasan iaitu Kampung Bukit Nangka, Kampung Sumpitan, Kampung Luat, Kampung Banggol Belimbing, Kampung Batu Dinding, Kampung Banggol Batu dan Kampung Tampan Air bagi mengatasi beberapa isu yang menyumbang kepada masalah banjir di Lenggong.
“Pada Rabu, saya mengadakan lawatan dan bersama jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Perak untuk melihat kesesuaian projek berkenaan dan kesan yang akan berlaku melalui perlaksanaan projek ini.
“Ini sebahagian daripada kerja-kerja kecil untuk mengatasi masalah banjir di Kawasan Daerah Kecil Lenggong,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM16,000,000 untuk Projek Pembangunan Lembangan Sungai Perak ( Fasa 1 ) Rancangan Tebatan Banjir Lenggong.
“Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) juga meluluskan RM16,000,000 (tidak termasuk kos pengambilan tanah) melalui Projek Pembangunan Lembangan Sungai Perak (Fasa 1) Rancangan Tebatan Banjir Lenggong.
“Bagaimanapun ianya masih dalam peringkat reka bentuk. Melaluinya saya harap isu dan masalah banjir di daerah ini dapat diselesaikan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa perubahan iklim yang berlaku menjadi satu cabaran namun pelbagai usaha berterusan akan dilakukan untuk mengatasinya.
“Saya memahami apa yang rakyat hadapi dan usaha berterusan kekal dilakukan oleh semua pihak termasuk oleh Menteri Besar Perak yang juga ADUN Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Seperkara yang menjadi cabaran, berlakunya perubahan iklim yang memberi kesan kepada kita termasuklah perancangan mengatasi isu banjir di kawasan ini. Namun usaha berterusan akan terus lakukan.
“Saya ingin merakamkan ucapan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan termasuk pimpiman di kampung-kampung yang sentiasa peka serta membantu semua pihak ketika bencana berlaku,” katanya lagi. – UMNO Online