KESUMA Teliti Kerangka Perlindungan Sosial Baharu – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata buat masa ini akta-akta yang ditadbir oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah merupakan skim insurans sosial komprehensif terutama bagi golongan pekerja yang berpendapatan rendah.

Pada masa yang sama katanya KESUMA melalui PERKESO sedang meneliti kerangka perlindungan sosial baharu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam sehari dan menyeluruh di luar waktu bekerja kepada seramai 7.6 juta orang pekerja secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya.

Secara prinsipnya menurut beliau kerangka ini berupaya merapatkan jurang ketidaksaksamaan, sekali gus memastikan tiada pekerja tercicir daripada mendapat perlindungan pada bila tiba masanya.

“PERKESO menyediakan Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan yang merupakan suatu bentuk insuran perlindungan sosial kepada Orang Berinsurans yang layak di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4], Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 [Akta 838].

“Faedah-faedah yang disediakan di bawah Skim Bencana Kerja adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat dan Kemudahan Pemulihan Jasmani / Vokasional.

“Di bawah Skim Keilatan, faedah-faedah yang disediakan adalah Pencen Ilat, Bantuan Ilat, Elaun Layanan Sentiasa, Pencen Penakat, Kemudahan Pemulihan Jasmani / Vokasional / Return To Work / Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Pendidikan,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Batu Gajah Sivakinar Varatharaju Naidu meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan bilakah skim insurans sosial komprehensif akan dilancarkan bagi melindungi pekerja berpendapatan rendah, memandangkan kos sara hidup meningkat mengurangkan kemampuan mereka mendapatkan insurans kesihatan mencukupi daripada pihak swasta.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis seterusnya menambah skim berkenaan turut menyediakan faedah perubatan, di mana orang berinsurans yang layak boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan secara percuna atau pun secara tuntutan bayaran ganti belanja berdasarkan kadar yang diluluskan oleh PERKESO dan tertakluk kepada Akta Fi 1951 di mana-mana klinik atau hospital kerajaan ataupun swasta yang berdaftar dengan PERKESO.

“Dengan kadar caruman yang rendah, pencarum layak mendapat faedah-faedah perubatan di bawah Akta yang secara langsung dapat membantu rakyat khususnya pencarum-pencarum dalam kalangan B40,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit