Kementerian Sentiasa Kenal Pasti Kaedah Pembinaan Terkini – Timb Menteri Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengenalpasti pembinaan kaedah secara Modular (Modular Construction) dan Pra Fabrikasi (Pre Fabricated) selain daripada Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System/IBS) bagi meningkatkan produktiviti melalui kaedah pembinaan yang terkini dan termaju.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kaedah pembinaan secara modular telah dilaksanakan di China, Singapura, Amerika Syarikat serta negara-negara Eropah dan di Timur Tengah, dengan pembinaan secara modular memerlukan reka bentuk yang standard dan berulang sesuai untuk pembinaan bertingkat atau reka bentuk yang sama.

“Pembinaan secara modular adalah selari dengan agenda IBS di Malaysia. Seperti semua sedia maklum, agenda IBS bukan perkara yang baru. IBS telah diwajibkan bagi projek kerajaan yang bernilai RM10 juta dan ke atas, perlu mendapat skor IBS 70 sejak tahun 2008.

“Pada 22, 23 dan hari ini, CIDB dan KKR mengurusetiakan International Contruction Work (ICW) di MITEC Kuala Lumpur. Pelbagai isu teknologi terkini pembinaan dibincangkan. Pameran diadakan dan perasmian oleh Menteri Kerja Raya, libatkan 11 negara,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan meminta Menteri Kerja Raya menyatakan strategi Kementerian untuk meningkatkan keupayaan prestasi industri pembinaan yang berteraskan teknologi terkini dan termaju supaya cepat siap dan berkualiti tinggi dan adakah latihan kad hijau pernah melalui proses semakan semula bagi memastikan modul latihan selari dan relevan dengan perkembangan teknologi moden.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut memaklumkan mengenai Pendaftaran Kad Hijau, Modul Kursus Induksi Keselamatan Untuk Pekerja Binaan atau Safety Induction Course for Construction Workers (SICW) yang mula dibangunkankan pada tahun 1999/2000 telah disemak semula pada tahun 2015/2016 selaras dengan pindaan Akta 520.

“Bagi memastikan modul ini relevan dan mengikut keperluan undang-undang dan perubahan polisi/dasar CIDB serta lain-lain peraturan berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan, semakan modul akan dilaksanakan pada suku keempat 2024.

“Modul latihan SICW yang telah ditambahbaik dijangka akan mula digunakan bermula suku pertama tahun 2025,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit