Kekangan Dunia Akademik Institusi Awam: Akta 605 Diteliti Dan Diperhalusi – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beberapa langkah telah diambil bagi melihat beberapa kekangan dalam dunia akademik di negara ini termasuklah Akta Badan-Badan Berkanun Tatatertib dan Surcaj 2000 (Akta 605).

Menurut beliau penelitian berkenaan bagi membolehkan Intitusi Pengajian Tinggi Awam tidak terikat dalam menyampaikan pandangan serta pendapat masing-masing dalam sebarang kenyataan yang dikeluarkan.

“Saya menyedari keresahan di kalangan khalayak dan juga di kalangan akademik khususnya berkaitan dengan kenyataan UKM tentang Pekeliling Pejabat Pendaftar iaitu pemakluman larangan membuat kenyataan yang boleh membuat kemudaratan awam dan ini terkait juga dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) [Akta 605] di mana setiap institusi badan berkanun akan sering kali mengingatkan staf mereka berkaitan dengan yang boleh dan yang tidak boleh mereka lakukan.

“Namun, saya juga memahami dalam konteks sebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seperti yang dilontarkan oleh YB Indera Mahkota. Yang menjadi persoalannya ialah bagaimana pengurusan universiti mengambil perhatian terhadap setiap arahan atau peringatan yang diberikan oleh pihak JPA berkaitan dengannya kerana ia berkait dengan badan berkanun yang tersebut.

“Lantaran itu, antara langkah yang telah pun saya ambil untuk memastikan supaya sebarang arahan itu tidak hanya ditafsirkan secara sehala, apatah lagi dalam konteks sebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), universiti sebagai contoh, iaitu setiap arahan itu tidak boleh dianggap hanya semata-mata boleh dilaksanakan di semua peringkat dan ini telah pun saya buat teguran kepada universiti-universiti,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Parlimen hari ini.

Kata beliau lagi sekiranya ada kekeliruan atau kekaburan dalam tafsiran yang dikeluarkan itu, maka hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk juga di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk KPT perjelaskannya dan peringatan itu diambil.

Terdahulu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah langkah Kementerian bagi memastikan insiden seperti larangan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melarang kakitangannya membuat kenyataan awam, tidak berulang semula.

Tambah Dr Zambry lagi, beliau  sering kali mengingatkan kepada universiti bahawa universiti itu adalah mewakili sebuah negara iaitu Microcosm of the Nation dan ini yang sangat penting untuk diambil perhatian.

“Lantaran itulah juga selepas perkara ini timbul saya telah mengadakan mesyuarat di peringkat tertinggi untuk melihat kenapa kekangan seperti ini berlaku dalam konteks dunia akademik kita.Maka, halangan terbesar ialah kerana kita ada Akta 605. YB Indera Mahkota tentunya faham kerana beliau pernah berada di sana dan beberapa cubaan telah pun dibuat dan sehingga kini pun saya telah meminta supaya Akta 605 ini juga dilihat semula bagi memberikan pengecualian dalam konteks  Universiti Awam kerana Universiti Awam itu dianggap sebagai badan berkanun.

“Di dalam Akta 605 itu, ada 12 institusi yang dikecualikan. Maka sudah sampai masanya juga kita perlu melihat dalam konteks sebuah universiti. Sebagai contoh, dalam konteks Perkara 18 (1) dan 18 (2), yang menyentuh tentang perkara yang boleh dan perkara yang tidak boleh. Makanya, dalam konteks Universiti Awam itu, kita perlu lihat dalam konteks universiti itu tidak terlibat dalam keseluruhan pekeliling secara awam atau secara umum yang diberikan kepada semua pihak yang terlibat yang tertakluk di dalam kategori yang disebutkan sebagai badan-badan berkanun.

“Ini antara langkah yang kita sedangkan lakukan dan langkah ini dianggap antara langkah kehadapan, radikal, quote dan unquote dan saya sedang mencuba untuk melakukan perkara ini bagi membolehkan supaya iklim dalam sebuah universiti itu tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka tapi dengan syarat dalam tradisi keintelektualan, kesarjanaan, seseorang yang akan bercakap itu dia tidak akan bercakap secara merapu, dengan izin, tanpa fakta dengan membuat teori-teori yang bukan-bukan. Tetapi ini yang saya sebutkan tadi kita akan lihat semula dalam konteks Akta ini,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit