Teruskan Adaptasi Gerak Kerja UMNO Untuk Rakyat Di Sabah – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 23 Okt – Dalam usaha memantapkan gerak kerja UMNO di setiap peringkat, Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed, telah mengadakan sesi libat urus dengan Jalinan Rakyat (JR) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Aru.

Ujarnya, pertemuan ini bertujuan untuk memperkuat perancangan strategik bagi menyantuni rakyat dan meraih sokongan pengundi tempatan.

Jeffery menekankan pentingnya setiap anggota UMNO untuk memahami keperluan dan harapan masyarakat.

“Alhamdulillah, saya dapat bertemu dengan JR PDM Tanjung Aru. Program libat urus ini bukan sahaja penting untuk berbincang tentang isu semasa, tetapi juga untuk memastikan setiap gerak kerja kita benar-benar berpaksikan kepada keperluan rakyat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa gerak kerja UMNO harus sentiasa aktif di samping menyesuaikan diri dengan cabaran dan keperluan semasa.

“Kita perlu mendengar suara rakyat, memahami apa yang mereka perlukan, dan bertindak balas dengan cepat. Ini adalah cara kita membina kepercayaan dan sokongan mereka.

“Melalui inisiatif seperti kunjungan ke rumah-rumah, pengagihan bantuan, dan program kesedaran maka tentunya UMNO akan dapat merapatkan jurang antara pemimpin dan rakyat,” tambah Jeffery.

Selain itu, beliau juga menekankan pentingnya kesepaduan dan pengukuhan serta memahami isu setempat dalam mengaplikasi gerak kerja bagi anggota parti.

“Kita perlu memastikan semua anggota UMNO di setiap peringkat dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dengan baik. Ini termasuk latihan dalam komunikasi berkesan, pemahaman dasar, dan pengurusan konflik,” katanya.

Ujarnya, usaha ini bukan sahaja akan dapat memperkukuhkan UMNO tetapi juga menunjukkan komitmen parti untuk membela rakyat.

“Kita perlu beradaptasi dengan perubahan zaman. Pengundi muda lebih cenderung kepada penggunaan platform digital, selain aktiviti yang berbentuk kesukanan dan sebagainya maka kita harus menggunakan medium ini untuk berkomunikasi dan menyampaikan mesej kita.

“Dengan segala usaha ini, kita perlu meneruskan tekad untuk membina hubungan yang lebih erat dengan rakyat, mengukuhkan sokongan, dan memastikan suara mereka didengar.

“Kita harus bersatu, berkerjasama, dan komited untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat. Hanya dengan cara ini, kita dapat memastikan UMNO terus relevan dan menjadi pilihan utama pengundi,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Jeffery yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan telah mengadakan pertandingan sepak takraw terbuka Piala Ketua Bahagian untuk tahun 2024.

“Terima kasih kesemua pasukan yang mengambil bahagian dari segenap seluruh Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Negara Brunei Darusalam. Tahniah pasukan dari Labuan iaitu OSTC menjadi juara edisi kedua, naib johan pasukan UMNO Putatan manakala pasukan berpengkalan di Tawau KLTC dan WIRA dari Papar pasukan ketiga bersama.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah menjayakan pelbagai program bersama UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.