Menteri Luar Malaysia Sedia Bincang Dengan Rakan Sejawat Berhubung Krisis Di Myanmar

PUTRAJAYA, 23 Okt – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sedia untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Myanmar, U Than Swe, tidak lama lagi mengenai krisis yang berlarutan di negara itu sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

Mohamad berkata beliau akan menghubungi Menteri Luar Myanmar selepas Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Samoa yang berakhir pada 26 Okt.

“Saya akan cuba berbincang dengan rakan sejawat saya selepas pulang daripada Mesyuarat CHOGM. Saya akan menghubunginya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran rasmi logo berinspirasikan Bunga Raya dan tema Keterangkuman dan Kemampanan bagi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Wisma Putra di sini, pada Selasa.

Menurut Mohamad ketika ini isyarat di Myanmar “kelihatan baik untuk membuka laluan kepada perbincangan dengan pelbagai pihak di negara itu.”

“Kini, kami menerima banyak isyarat daripada pelbagai pihak di Myanmar, mereka bersedia untuk berbincang, mereka mahu berbincang… kami akan mengambil peluang ini untuk berdialog dan berbincang dengan mereka mengenai apa yang sebenarnya mereka mahu.

Bagi kami, kami tidak mahu menekan sesiapa kerana kami mahu mendengar dahulu apa yang ada di minda mereka. Kemudian, kami akan duduk berbincang sekali lagi,” katanya.

Mohamad berkata selepas perbincangan itu, beliau akan membawa isu berkenaan kepada rakan sejawat ASEAN yang lain bagi menentukan pendekatan terbaik untuk menangani situasi di Myanmar.

 

Mengenai isu Laut China Selatan, Mohamad berkata Malaysia akan memastikan sebarang rundingan atau perbincangan mengenai isu tersebut, termasuk Kod Tatalaku (COC), mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengikut Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Menurut laporan media, Malaysia dan China mengadakan dialog dua hala pertama mereka mengenai pengurusan isu maritim di Laut China Selatan minggu lepas di Langkawi, Kedah.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu hari ini ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Penyelaras bagi Tonggak Ekonomi ASEAN); Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Penyelaras bagi Tonggak Sosiobudaya ASEAN) dan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin.

Turut hadir pegawai kanan kerajaan, ketua perwakilan asing ke Malaysia, wakil pertubuhan antarabangsa serta wakil media. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.