‘Cukup-cukuplah Berpolitik… Pas Makin Tiada Modal’ – Azhari
KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan Pas sebagai tiada modal apabila sering menggunakan agama demi kepentingan politik mereka.
Menurutnya ini kerana mereka berulang kali menunggang elemen agama dalam meraih sokongan rakyat.
Malah yang terbaharu apabila Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjadikan nama Allah dan Rasulullah SAW sebagai sindiran kepada kerajaan semasa berbahas isu berkaitan gaji minimum di Dewan Rakyat.
Azhari berkata, Pas sewajarnya perlu lebih matang dalam menggunakan platform Dewan Rakyat dalam membahaskan hal ehwal rakyat.
“Cukup-cukuplah berpolitik, dengan lebih rasional dan profesional.
“Rasul bukan orang politik. Tidak ada modal Pas ni?
“Tunggang agama untuk modal politik. Pemimpin bukan Islam tak guna contoh paderi atau sami untuk dijadikan contoh atau meraih sokongan rakyat,” katanya.
Tambah Azhari lagi, lebih dikesalkan apabila kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pemimpin utama Pas iaitu timbalan presidennya.
“Sebagai orang nombor dua dalam parti gunalah contoh lain,” ujar beliau.
Terdahulu, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dalam satu hantaran di Facebook hari ini mempersoalkan sesetengah pihak yang terus menunggang nama Rasulullah SAW.
Meskipun beliau tidak menyebut secara jelas, ia dipercayai merujuk kepada pemimpin yang menggunakan nabi sebagai dalil dalam menyentuh sesuatu isu. – UMNO Online