Bajet 2025: Tidak Ada Yang Terpinggir Termasuk Negeri Ditadbir Pembangkang – Dr Azmi
KUALA LUMPUR, 23 Okt – Pembentangan Bajet 2025 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, bajet yang berjumlah besar tersebut berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan tidak melibatkan sebarang projek pembangunan mega.
“Bajet paling besar iaitu sebanyak RM421 bilion untuk tahun hadapan. Besarnya bajet tersebut bukan kerana membeli aset-aset tertentu dan pembangunan mega. Tetapi, bajet ini berpaksikan kepada kepentingan rakyat iaitu konsep ekonomi Madani.
“Jadi, dalam hal ini banyak peruntukan disediakan untuk rakyat supaya mereka lebih selesa menjalani hidup dalam keadaan mencabar dan kos barangan yang tinggi. Sebab itu dikatakan bajet Madani ini menjurus kepada kepentingan rakyat. Tiada projek-projek mega yang akan menelan belanja besar juga,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, tindakan kerajaan menaikkan gaji minimum dan menggandakan bantuan wang tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara amat bertepatan untuk menaikkan taraf hidup rakyat.
“Menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 adalah salah satu cara untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Jangan dilupa bahawa pemberian bantuan wang tunai seperti STR dan juga Sara dikembangkan daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion supaya jumlah yang diperolehi itu lebih besar serta penerimanya lebih ramai lagi.
“Jadi dalam hal ini kalau kita gabungkan peruntukan wang tunai, STR, Sara dan gaji minimum RM1,700, itu adalah salah satu strategi dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mereka mempunyai wang ringgit di tangan itu untuk berbelanja. Apabila mereka berbelanja, wang tersebut akan masuk ke dalam kitaran ekonomi.
“ Jadi, ini dikatakan situasi ‘menang-menang’ untuk penerima bantuan, bagus juga untuk para peniaga dan ekonomi negara. Ini yang dikatakan bahawa strategi kerajaan mengukuhkan taraf hidup rakyat, di samping dapat membina kitaran ekonomi yang lebih sihat lagi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan tohmahan pihak pembangkang yang mengatakan kerajaan tidak cakna terhadap negeri-negeri di bawah takluk mereka adalah tidak benar sama sekali.
“Mungkin tidak dinyatakan secara spesifiknya berapa negeri-negeri pantai timur perolehi. Tetapi, peruntukan yang diberikan dalam pembangunan luar bandar seperti bekalan air bersih, elektrik, penurapan jalan dan buat jalan baharu itu kebanyakannya yang diperlukan di ketiga-tiga negeri pantai timur tersebut iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Ini termasuk juga RM5 juta untuk pembaikan Pasar Siti Khadijah. Jadi, inilah yang dikatakan bahawa kerajaan tidak meminggirkan negeri-negeri pembangkang seperti yang dimomokkan sebelum ini kerana sebahagian besar peruntukan tersebut dimiliki oleh ketiga-tiga negeri pantai timur itu.
“Mereka lebih memerlukan pembangunan infrastruktur berbandingkan dengan negeri-negeri di pantai barat. Jadi, harapannya adalah penduduk di ketiga-tiga negeri ini terutama sekali di Kelantan dan Terengganu dapat memikirkan secara rasional bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah meminggirkan mereka,” katanya lagi.
Pada Jumaat media melaporkan, sejumlah RM421 bilion telah diperuntukkan untuk Belanjawan 2025 Malaysia Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan dokumen tersebut di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, jumlah tersebut merangkumi sekitar 20.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), dengan RM335 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Perdana Menteri berkata, hasil Kerajaan Persekutuan dianggar meningkat 5.5 peratus kepada RM339.7 bilion seiring dengan prospek ekonomi 2025 yang dijangka lebih baik, dengan defisit fiskal diunjur pada 3.8 peratus, manakala inflasi di antara dua peratus hingga 3.5 peratus. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman