Agenda Reformasi Sentiasa Dilaksana, Diteruskan – Azalina

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan komited untuk memastikan agar agenda reformasi sentiasa dilaksanakan dan diteruskan.

Tegasnya, selaras dengan hasrat tersebut, beberapa pindaan terhadap undang-undang sedia ada telah dilaksanakan untuk memastikan hak rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.

“Kerajaan Madani sentiasa komited terhadap agenda reformasi institusi dalam memastikan hak rakyat Malaysia secara amnya terpelihara. Selaras dengan hasrat ini, kerajaan telah berjaya membawa beberapa pindaan terhadap undang-undang sedia ada seperti pemasuhan hukuman mati mandatori melalui pindaan kepada perundangan yang sedia ada.

“Diikuti pula dengan beberapa pindaan kewujudan akta-akta seperti Akta Audit Negara, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, pindaan kepada Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, dan Akta Insolvensi.

“Kerajaan turut merencanakan pelbagai inisiatif reformasi institusi melibatkan penggubalan undang-undang atau pindaan kepada beberapa akta dan harapannya pada sesi kali ini serta tambahan pada tahun 2025,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, penggubalan rang undang-undang pada tahun 2025 turut memberi penekanan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI).

“…antaranya penggubalan rang undang-undang keselamatan dalam talian dan pindaan kepada undang-undang sedia ada berkaitan dengan ‘cyberbullying’; penggubalan Roadmap to My Digital Justice pada tahun 2025 untuk memberikan penekanan kepada pemakaian ‘Artificial Intelligence’ (AI) bagi sektor perundangan.

“Selain itu, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, penggubalan pada rang undang-undang kebebasan maklumat, pindaan kepada Akta Pemegang Amanah, Akta Pemegang Amanah diperbadankan, pindaan kepada Akta Profesional Undang-Undang dan pindaan kepada beberapa undang-undang yang lain,” katanya lagi.

Menurutnya, kajian pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam proses.

“Kalau kita lihat dalam aspek Alternate Dispute Resolution (ADR) bagi pihak kerajaan pada tahun ini telah beberapa pindaan dan perlakuan kepada kewujudan ADR dalam negara kita. Apabila kita melihat kepada kajian pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, ia masih dalam proses

“Insya-Allah pada tahun depan harapannya ‘empirical research’ yang dilaksanakan, satu laporan interim boleh dimasukkan bagi status tentang peranan Peguam Negara serta pemisahan Peguam Negara dan juga Pendakwa Raya. Juga pada tahun depan, dilihat undang-undang perkhidmatan bantuan peguaman yang baru,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah menambah peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang pada pembentangan bajet minggu lalu.

“Ini menunjukkan bahawa agenda reformasi ini sentiasa dilaksanakan dan diteruskan. Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri berkenaan dengan pembentangan Belanjawan 2025. Telah diperuntukkan RM209 juta kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang berbanding dengan RM194 juta pada tahun lepas.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Madani sentiasa menyokong dan akan meneruskan pelaksanaan kepada reformasi yang diberikan komitmen,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.