Retreat UMNO Bahagian Papar Aplikasi Semangat Kebangkitan Depani PRN Sabah
PAPAR, 22 Okt – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, menekankan bahawa semangat untuk ‘bangkit’ daripada kekalahan perlu disertai dengan usaha yang serius dan berstrategi untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Ujarnya, apa yang lebih penting dalam merealisasikan ‘bangkit’ adalah dengan melaksanakan usaha bersungguh-sungguh atas semangat dan kekuatan yang bersepadu.
“Bila sebut ‘bangkit’, kita semua bersemangat. Namun, adakah semangat itu cukup untuk kita bangkit dari kekalahan? Laungan ‘bangkit’ sahaja tidak memadai tetapi perlu disertakan dengan usaha dan kesungguhan yang tak akan pernah pudar,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon pasca-retreat UMNO Bahagian Papar yang telah dilaksanakan dengan jayanya selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober lalu.
Jelasnya, retreat yang ditutup dengan pesanan daripada Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bertujuan mengumpulkan jentera parti dari semua peringkat bagi membincangkan strategi yang akan mengukuhkan kedudukan UMNO, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Perbincangan tersebut memberi peluang kepada semua peserta untuk melakukan percambahan minda dan pertukaran idea yang konstruktif, yang akan diaplikasikan untuk memperkukuh dan memperkemas jentera parti.
“Retreat ini adalah platform untuk kita mengkaji dan memperbaiki semua kelemahan jentera di setiap peringkat, agar kita bersedia menghadapi PRN17 dengan lebih berkesan. Kita perlu memastikan bahawa semua anggota memahami peranan mereka dan bersatu dalam satu matlamat yang jelas,” tambahnya.
Antara usaha yang ditekankan oleh Jamal untuk memulihkan UMNO adalah menambah keahlian golongan muda dan mendekati mereka dengan lebih efektif.
“Kita perlu aktif dalam menarik lebih ramai orang muda menyertai parti ini. Pendekatan ini termasuk kerap turun padang untuk berinteraksi dengan mereka dan memahami keperluan serta harapan mereka,” ujarnya.
Beliau juga menekankan pentingnya penggunaan politik media sosial dan platform digital untuk mencapai audiens yang lebih luas.
“Kita tidak boleh mengabaikan kuasa media sosial. Melalui platform ini, kita dapat menyebarkan mesej UMNO dengan lebih pantas dan berkesan, serta menjalin hubungan yang lebih dekat dengan generasi muda.
“Dalam sesi-sesi yang berlangsung, pelbagai isu penting dibincangkan, termasuk strategi kempen, penglibatan komuniti, dan cara untuk mendekati pengundi.”
Jamal juga menegaskan bahawa latihan dan pembelajaran dalam kalangan ahli parti adalah penting untuk membentuk pemimpin masa depan yang mampu menghadapi cabaran dalam politik.
“Di sinilah momen terbaik untuk kita menyatukan hati dan tindakan semua anggota parti, agar selari dengan sistem yang ada. UMNO adalah parti berstruktur kuat, terasnya dari rakyat, dan bukan sekadar memberi pentas kepada pemimpin tanpa parti untuk menyelamatkan diri.
“Penglibatan aktif dalam masyarakat adalah kunci untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO. Kita perlu turun padang, mendengar keluhan rakyat, dan bertindak untuk menyelesaikan masalah mereka. Hanya dengan cara ini kita boleh membina semula hubungan yang kukuh antara parti dan pengundi,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan sentiasa menyokong perjuangan UMNO.
“Kita perlu bergerak bersama, memperkuatkan kedudukan UMNO dan bersedia menghadapi cabaran akan datang. Bersama-sama, kita boleh mencapai kejayaan dan memastikan UMNO terus relevan dalam hati rakyat.
“Dengan semangat baru dan tekad yang kuat, jentera UMNO Bahagian Papar bersiap sedia untuk mengharungi PRN yang akan datang demi masa depan UMNO dan rakyat,” katanya dengan penuh harapan. – UMNO Online