Kerajaan Beri Kebebasan Bersuara Kepada Rakyat, Sertai Perhimpunan Aman Ikut Undang-undang

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa kerajaan memberi hak dan kebebasan bersuara kepada rakyat di semua peringkat termasuk untuk penganjuran atau penyertaan perhimpunan aman dan tanpa sejata oleh warganegara.

Menurut beliau undang-undang yang digunapakai adalah berpandukan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta 736 yang mengkehendaki penganjur untuk mengemukakan pemberitahuan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

“PDRM bertanggungjawab mengambil apa-apa langkah sebagaimana yang difikirkan perlu untuk memastikan perhimpunan yang dikendalikan dengan teratur mengikut Akta 736 dan mana-mana undang-undang yang bertulis yang lain berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Permohonan permit yang dimaksudkan ialah pemberitahuan perhimpunan. Pemberitahuan perhimpunan di bawah Seksyen 9 (1) Akta 736 perlulah memenuhi keperluan yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 10 Akta 736,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata demikian pada ketika ditanya Chow Yu Hui (PH-Raub) sama ada permit daripada PDRM diperlukan untuk penganjuran perhimpunan awam bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Shamsul Anuar dalam pada itu menambah penganjur perlu melengkapkan borang pemberitahuan yang mengandungi butiran-butiran perhimpunan, anggaran jumlah peserta dan individu yang dilantik oleh penganjur untuk memastikan ia dilaksanakan dengan teratur dan memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang ditetapkan.

“Pihak polis mempunyai kuasa di bawah Seksyen 15 Akta 736 untuk mengenakan syarat dan sekatan ke atas sebuah perhimpunan bagi mempastikan keselamatan dan keketatan ramai awam kekal terpihara, termasuklah perlindungan kepada hak dan kebasan orang lain,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.