Angkat Peranan GLC, GLIC Untuk Kesejahteraan Ekonomi Negara – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) penting bagi menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara, kata Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Menurut beliau, melalui audit yang akan dilaksanakan Jabatan Audit Negara (JAN) terhadap 2,000 GLC mulai tahun depan akan mewujudkan era baharu tadbir urus di Malaysia.

“Saya sokong untuk JAN untuk membuat audit kepada 2,000 GLC ini. Sebab World Bank telah buat kajian dalam satu laporan yang jelas melibatkan 76,000 syarikat, melibatkan 91 negara.

“Banyak perkara-perkara yang disebut dalam perkara itu, lima prinsip asas yang harus kita selusur.

“Kerana kita mesti memastikan GLC ini kembali kepada mandat sebenar dan  memberi kesejahteraan ekonomi sosial, ekonomi yang baik kepada negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perdana Menteri menyatakan pelan tindakan di bawah agenda reformasi khusus buat GLC, GLIC dan agensi demi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan tanggungjawab sosioekonomi nasional tercapai tanpa menjejaskan daya maju, daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia.

Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), turut berpandangan prestasi GLC berbeza dengan syarikat swasta dan syarikat luar negara yang melabur di negara ini.

“Betul saya faham kita bukanlah tertumpu kepada keuntungan, tetapi mesti juga memberi pulangan dividen kepada kerajaan melalui usaha ekonomi mereka,” ujar beliau.

Untuk rekod JAN akan melakukan pengauditan terhadap 2,000 GLC mulai tahun depan ia susulan kelulusan pindaan Akta Audit 1957 pada Julai lalu yang membenarkan Ketua Audit Negara memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat didaftarkan mengikut Akta Syarikat 2016 (Akta 777), yang menerima jaminan kewangan Kerajaan Persekutuan atau negeri.

Sebelum kelulusan pindaan akta itu, mana-mana syarikat kerajaan, termasuk GLC perlu melalui proses pewartaan di Parlimen terlebih dahulu sebelum boleh diaudit oleh JAN. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.