Terus Jadi Pilihan Golongan Muda, UMNO Lahad Datu Terima Keahlian Baharu

LAHAD DATU, 21 Okt – UMNO terus menunjukkan kemampuannya untuk menarik perhatian dan sokongan dari golongan muda.

Dalam satu langkah positif, UMNO Bahagian Lahad Datu telah menerima penyertaan 80 belia baharu sebagai ahli yang mencerminkan minat dan kepercayaan generasi muda terhadap parti ini.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, menyatakan bahawa penyertaan ini adalah bukti bahawa belia kini semakin matang dalam membuat pilihan politik.

“Alhamdulillah! Hari ini kami melihat belia yang berani mengambil langkah untuk terlibat dalam politik. Mereka sedar bahawa penglibatan dalam parti politik adalah penting untuk memastikan keperluan dan hak mereka terjamin,” katanya yang menerima borang keahlian baharu dari golongan belia di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan bahawa setiap program yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Lahad Datu secara langsung akan melibatkan belia yang bertujuan untuk memberi mereka pendedahan tentang cara pentadbiran, serta hala tuju perjuangan UMNO.

“Kami percaya bahawa dengan melibatkan belia dalam program-program ini, mereka akan dapat memahami tanggungjawab dan peranan mereka dalam politik. Ini juga dapat menanam semangat kepimpinan di dalam diri mereka,” maklumnya kepada UMNO Online.

Jelas Sharif Musa, dalam kalangan 80 ahli baharu ini, majoritinya terdiri daripada belia berumur antara 18 hingga 30 tahun yang menunjukkan minat mendalam untuk menceburi bidang politik, dan bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Sesungguhnya kehadiran dan sokongan daripada golongan belia ini membawa harapan baharu kepada UMNO, dan mereka merupakan aset penting dalam perjuangan parti.”

Menyedari cabaran yang dihadapi oleh golongan muda, Sharif Musa berjanji bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan memberikan bimbingan yang diperlukan untuk membentuk mereka menjadi pemimpin masa depan.

“Insya-Allah, kami akan terus memberi sokongan dalam mengenali dunia pentadbiran dan politik. Kami ingin membentuk jati diri yang kukuh dan daya tahan di kalangan belia agar mereka dapat menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan mengadakan lebih banyak program dan aktiviti yang fokus kepada belia, termasuk bengkel, ceramah, dan sesi perkongsian pengalaman dengan pemimpin senior.

“Kami ingin memberi peluang kepada belia untuk belajar dan berinteraksi dengan pemimpin yang telah berpengalaman. Dengan cara ini, mereka dapat memperluas perspektif dan mengembangkan kemahiran kepimpinan mereka,” tambah Sharif Musa.

Selain itu, UMNO Bahagian Lahad Datu turut merancang untuk melibatkan belia dalam pelbagai inisiatif sosial dan kebajikan.

“Dengan cara ini, mereka bukan sahaja akan mendapat pengalaman dalam politik, tetapi juga memahami tanggungjawab sosial yang perlu dipikul sebagai anggota masyarakat.

“Kami ingin memastikan bahawa belia bukan sahaja aktif dalam politik, tetapi juga memainkan peranan dalam membantu masyarakat di sekeliling mereka,” katanya.

Ujarnya, penglibatan aktif golongan muda ini penting untuk mengukuhkan kedudukan parti dalam arena politik tempatan dan memastikan suara belia didengar dalam setiap keputusan yang diambil.

“Kami berharap agar lebih ramai belia akan menyertai UMNO pada masa hadapan dan menjadikan parti ini sebagai platform yang dapat memberikan ruang kepada mereka untuk bersuara dan berperanan dalam pembangunan negara.

“UMNO sentiasa membuka pintu kepada golongan muda. Kami percaya bahawa mereka adalah pemimpin masa depan, dan bersama-sama kita boleh mencapai visi yang lebih baik untuk Lahad Datu dan negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.