KPWKM Anjur Program Tingkat Kesedaran Mengenai Gangguan Seksual

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menganjurkan Program Toleransi Keganasan dan Advokasi Antigangguan Seksual untuk meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual pada Ahad.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program tersebut merupakan siri kedua di Zon Selatan tanah air dan disertai seramai 700 orang peserta.

“Saya telah hadir ke Dewan Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh untuk menyempurnakan Program Toleransi Sifar Keganasan dan Advokasi Antigangguan Seksual Zon Selatan.

“Ini merupakan siri kedua yang dilaksanakan di Zon Selatan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai gangguan seksual terutamanya kepada golongan mahasiswa di seluruh negara.

“Seramai 700 orang peserta yang merupakan pelajar dari universiti berdekatan hadir menyertai program ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, program ini turut menyampaikan maklumat bantuan dan perkhidmatan psikososial untuk menangani masalah gangguan seksual.

“Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai gangguan seksual, menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis antigangguan seksual kepada semua lapisan masyarakat. Selain itu, menyampaikan maklumat bantuan dan perkhidmatan psikososial yang disediakan oleh KPWKM terutama untuk menangani gangguan seksual.

“Antara pengisian program ini ialah ceramah Advokasi Antigangguan Seksual oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kenali Tribunal Antigangguan Seksual oleh Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan ceramah Jauhi Buli Siber oleh Cybersecurity Malaysia,” katanya lagi.

Mengula lanjut, beliau juga berpeluang untuk melawat reruai pameran dan berada di dalam Sesi Coffee Talk bersama peserta.

“Saya turut berkesempatan berada di dalam Sesi Coffee Talk bersama peserta yang hadir, melawat reruai pameran dan acara Mural Signing yang merupakan simbolik kepada komitmen dan sokongan semua pihak dalam menangani gangguan seksual.

“Turut sama hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Hanani Sapit dan pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi Kementerian,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.