Kenaikan Bajet Kesihatan 2025 Komitmen Kerajaan Terhadap Rakyat – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memberi impak besar kepada rakyat Malaysia terutamanya sektor kesihatan.

Menurut beliau, sistem kesihatan yang baik adalah satu indikator bagi menjadi sebuah negara maju.

Katanya, belanjawan 2025 bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun hadapan telah menunjukkan sebanyak hampir 10 peratus kenaikan dari yang diperuntukkan untuk tahun ini (2024).

“Selalunya di KKM bajet yang pernah diterima adalah sekitar 26.58B (2018) dan 31.9B pada tahun 2021 ketika saat kita berdepan dengan pandemik Covid-19. Namun selepas itu bajet untuk kesihatan telah dinaikkan seperti bajet pada tahun 2022, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM32.4 bilion, tahun 2023 sebanyak RM36. 1bilion, tahun 2024 sebanyak 41.2 bilion manakala bagi bajet untuk tahun 2025 sebanyak 45.3 bilion.

“Banyak juga manfaat lain yang telah diumumkan untuk sektor kesihatan namun apa yang pasti bajet KKM tahun 2025 yang sebanyak 45.3B adalah belanjawan yang terbesar dalam sejarah.

“Semoga pihak KKM dapat menggunakannya sebaik mungkin dan kita mendoakan agar perkhidmatan akan lebih bertambah baik dan dapat dipercepatkan,” katanya.

Tambah beliau, ini adalah dalam sejarah KKM menerima bajet yang terbesar daripada kerajaan dimana sejajar dengan usaha Kerajaan Madani ke arah semua rakyat akan mendapat perkhidmatan ‘percuma’.

Mengulas lanjut, Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional
Wanita UMNO Malaysia menjelaskan rakyat yang sihat pasti dapat menambah produktiviti untuk negara.

“Rakyat yang sihat tentunya akan memberi produktiviti yang tinggi kepada negara dan semestinya akan meningkatkan had umur penduduk Malaysia bagi menjadi sebuah negara maju dalam tempoh beberapa tahun lagi. Sistem kesihatan yang baik adalah satu indikator bagi menjadi sebuah negara maju,” katanya lagi.

Seterusnya kata Dr Masliha menegaskan kekecohan yang berlaku sebelum ini di mana hampir 4,000 pesara kerajaan yang telah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) terpaksa dirujuk untuk rawatan lanjut di hospital lain.

“Apa yang pasti dalam kekecohan sebelum ini dimana hampir 4,000 pesara kerajaan yang telah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) terpaksa menerima rawatan lanjut ke Hospital luar.

“Kini pihak kerajaan telah mendengar keluhan dan rintihan mereka serta bagi sesiapa yang sedia ada temu janji di IJN masih boleh diteruskan dan mendapatkan rawatan susulan mereka seperti biasa bagi yang berumur 65 tahun ke atas mereka boleh teruskan rawatan mereka di IJN,” jelas beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.