Jasa UMNO Terlalu Banyak, Teruskan Semarak Khidmat Bakti Untuk Rakyat – Awang Aslee

BEAUFORT, 21 Okt – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menekankan pentingnya jasa UMNO terus diangkat dalam memajukan Negeri Sabah iaitu dari kampung dan pekan ke bandar dan bandaraya malah keupayaannya melaksanakan usaha bersama rakyat perlu dimanfaat sebagaimana khidmat bakti yang telah sebati dalam parti.

Katanya, kemajuan dan kemakmuran rakyat Sabah yang terlihat hari ini merupakan pencapaian yang harus dihargai oleh semua sebagaimana peranan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan di sini sebelum ini.

“UMNO telah berjaya memartabatkan kedudukan bangsa di Sabah sambil menabur bakti kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pencapaian ini adalah hasil daripada usaha gigih pemimpin UMNO yang berkomitmen untuk memajukan negeri ini.

Namun begitu katanya, sekarang ini seakan tiada lagi pembangunan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), apabila UMNO/BN mengalami kekalahan dan tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah berubah.

“Kini, tiada lagi projek pembangunan yang boleh dibanggakan. Semua yang kita lihat di Sabah sekarang ini adalah hasil dari pentadbiran UMNO-BN,” katanya, mengingatkan tentang pencapaian yang telah dilaksana ketika UMNO berkuasa.

Antara projek-projek utama yang menjadi kebanggaan rakyat hasil pentadbiran UMNO/BN ialah termasuk Lebuhraya Pan Borneo, bangunan Jabatan Ketua Menteri Sabah, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Masjid Negeri Sabah dan penubuhan beberapa universiti yang kini berfungsi sebagai institusi pendidikan tinggi negeri sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau mengajak kepimpinan UMNO pelbagai peringkat di Sabah terus melaksanakan agenda parti yang diaplikasi dari rakyat untuk rakyat termasuklah mengadakan kunjungan dan saling menziarah masyarakat setempat.

Dalam usaha untuk meneruskan khidmat bakti ini beliau bersama ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort telah menyantuni beberapa keluarga kurang bernasib baik di kawasan sekitar yang dilaksana berterusan dari semasa ke semasa.

“Kehadiran ini menunjukkan solidariti dan komitmen UMNO untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Dengan semangat ‘dari rakyat untuk rakyat’, UMNO Beaufort bertekad untuk terus memperjuangkan kesejahteraan dan pembangunan negeri Sabah.”

Ujarnya, terbaharu, melalui Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beaufort yang diketuai Mohd Rashid Mathon yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian telah menyantuni beberapa buah rumah di Pusat Daerah Mengundi Palu-palu Kuala Penyu termasuk di Kampung Kitang, menziarah Mohd Taip Kadir, Kamaris Asin dan Sadiah Sidup yang menghidap penyakit strok sementara Amirhan Semal dikunjungi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Sementara itu, di Kampung Batu 56 turut diziarah Maria Gonsorob dan di Kampung Jimpangah pula ialah Jumhari Taip yang juga menghidap strok.

Seterusnya memberikan kata-kata semangat kepada keluarga Allahyarham Maslinah Musnih di Kampung Kebatu dan keluarga Allahyarham Masih Husom Kampung Bawang yang meninggal dunia baru-baru ini.

Ujar Awang Aslee, program ini bukan sekadar memberi bantuan, tetapi juga bertujuan untuk menjalin hubungan yang lebih erat antara pemimpin dan masyarakat.

“Kami ingin mendengar suara rakyat dan memahami keperluan mereka. Khidmat bakti ini adalah tanggungjawab kami sebagai pemimpin,” tambahnya.

Awang Aslee juga menyeru semua ahli dan penyokong UMNO untuk bersatu demi mencapai matlamat ini dan memastikan bahawa Sabah terus maju untuk generasi akan datang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.