Fokus Perkuat UMNO Sabah Sebelum Putuskan Soal Gabungan Dengan Parti Lain – Bung Moktar

PAPAR, 21 Okt – UMNO Sabah perlu memberi keutamaan terlebih dahulu untuk memperkukuh parti di semua peringkat sebelum memikirkan soal kerjasama dan parti gabungan lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN-17) akan datang.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta ahli dan jentera parti agar tidak memikirkan soal gabungan bersama parti lain sebaliknya keutamaan ketika ini memberikan perhatian kepada persediaan serta membina kekuatan UMNO itu sendiri.

“Tiada gunanya kita memikirkan soal kerjasama dengan parti lain, jika jentera parti kita lemah dan tidak terurus. Apa yang penting ketika ini ialah fokus kepada persiapan jentera parti kerana jika kita kuat pihak lain akan menghormati kita, bahkan mahu bekerjasama dengan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan program perkampungan (retreat) UMNO Bahagian Papar, di sini pada Ahad.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, jentera parti di semua peringkat perlu kukuh dan berusaha untuk mengatasi serta memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Jika kita gagal mengatasi atau memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada maka ia akan mengundang kepada kekalahan” katanya.

Dalam pada itu Bung berkata, UMNO Sabah mengalu-alukan soal kerjasama bersama parti gabungan yang lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian satu sama lain iaitu bukan sahaja memberikan manfaat kepada parti tapi juga rakyat Sabah secara keseluruhannya.

“Kita banyak belajar dari proses gabungan sebelum ini jadi perkara ini turut mematangkan UMNO Sabah, bagaimanapun sebarang keputusan untuk bergabung dengan lain-lain parti tidak akan merugikan UMNO, yang penting UMNO Sabah perlu diperkuatkan terlebih dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Bung turut mengingatkan agar ahli-ahli UMNO membudayakan kerja berjemaah yang merupakan nadi utama kekuatan parti.

Katanya, kekuatan UMNO bukanlah kekuatan individu, tapi semangat kerja berpasukan yang perlu diamalkan dalam mempertahankan institusi parti.

Mengulas program tersebut Bung, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, ianya merupakan satu pendekatan terbaik yang perlu diteruskan oleh lain-lain bahagian UMNO di negeri ini.

“ Retreat ini mengumpulkan jentera parti semua peringkat untuk pelbagai perbincangan yang menjurus kepada strategi parti khususnya untuk menghadapi PRN. Ia boleh dibincangan melalui percambahan minda dan pertukaran idea yang akan diguna pakai untuk memperkukuh dan memperkemas jentera parti,” katanya.

Hadir sama di majlis tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan; Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Papar, Tamin Zainal; Naib Ketua Bahagian, Rizwan Ismail dan Ketua Wanita UMNO bahagian Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.