Belanjawan Negara Sebagai Pemangkin Ekonomi Dan Ujian Kemampanan Pentadbiran – Shahar

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berpandangan Belanjawan negara adalah suatu instrumen penting pemangkin kepada ekonomi dan suatu pengharapan kepada rakyat di samping menguji kemampanan pentadbiran negara.

Menurut beliau, pihak kerajaan telah berjaya membentangkan kerangka anggaran yang inklusif dan hala tuju ekonomi yang jelas setahun kehadapan, serta berfokus memperkasakan rakyat berasaskan keadilan sosial.

Mohd Shahar optimis kerajaan berupaya mengimbangi empat pemfaktoran penting yang menjadi asas dalam kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi.

“Imbangan keperluan; keperluan rakyat, perniaga, anak muda, orang kurang upaya (OKU), penjawat awam, golongan veteran. Imbangan Kehendak; kehendak kerajaan untuk menjadi negara maju, perjanjian blok perdagangan, rakyat mahu pendapatan tinggi, kehendak agensi penarafan antarabangsa, kehendak Sabah dan Sarawak.

“Imbangan kemampuan; kemampuan kutipan hasil, kadar keberhutangan, infrastruktur sedia ada, kemampuan bakat tempatan, kemampuan kawalan sempadan dan terakhir imbangan keadaan; keadaan geopolitik, perang dagang negara sumber, tuntutan negara tetangga, krisis iklim, black economy, cybersecurity, keterjaminan makanan,” katanya di Dewan Rakyat ketika Perbahasan Dasar Belanjawan 2025, di sini hari ini.

Tambah Mohd Shahar lagi, empat pemfaktoran ini adalah complexity, yang memerlukan whole of nation approach daripada semua untuk bersama dan bertindak membangunkan nusa bangsa.

Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club-BBC) berkata pasaran halal global dijangka mencapai USD5 trilion menjelang 2030, namun hanya 20 peratus permintaan dipenuhi.

“Malaysia berjaya mengeksport produk halal bernilai RM53.7 bilion, akan tetapi, industri-industri bernilai tinggi seperti farmaseutikal (1 peratus), kimia industri (2 peratus), produk derivatif kelapa sawit (3 peratus), dan kosmetik (7 peratus) masih belum mengambil bahagian yang memadai dalam ekonomi halal.

“Pengembangan ekonomi halal akan membuka peluang pekerjaan profesional dan memerlukan pensijilan khusus, termasuk kursus pengurusan halal dalam pelbagai bidang pengajian. Kita harus mengetengahkan ekonomi halal sebagai sebahagian daripada agenda High Growth High Value (HGHV) untuk memacu pertumbuhan Malaysia,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Mohd Shahar menekankan isu yang membelenggu pemain industri domestik adalah tentang graduan berkelulusan Pengurusan Halal yang dianggap agak terbatas kerana hanya menguruskan pensijilan halal.

“Saya percaya Sijil Pengurusan Halal ini sewajarnya menjadi nilai tambah kepada mahasiswa. Sebagai contohnya, mahasiswa pentadbiran perniagaan mengambil kursus atau modul pengurusan halal sewaktu melengkapkan pengajiannya. Saya berharap agar modul ini dapat turut diperkenal kepada mahasiswa dalam bidang pengurusan hotel, pelancongan, sains gunaan dan pelbagai lagi.

“Kita harus memanfaatkan kedudukan sebagai pengerusi ASEAN tahun depan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dan ingin mencadangkan penubuhan Pusat Pembangunan Latihan dan Penyelidikan Halal ASEAN dan mengkaji ‘Asian Shariah Stock Exchange’ untuk menjadikan ASEAN peneraju kewangan Islam global,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar mengalu-alukan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 kerana ini adalah langkah positif untuk memberikan taraf hidup yang lebih selesa kepada mereka yang berpendapatan rendah.

“Kita harus berwaspada terhadap potensi inflasi yang boleh timbul. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan pengurusan yang baik agar peningkatan gaji ini dapat merangsang produktiviti perniagaan tanpa menjejaskan daya saing.

“Kita perlu terus beri galakan dalam adaptasi teknologi dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja depan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Kerajaan juga perlu menjadi lebih tegas terhadap penguatkuasaan kawalan harga barang. Gaji minimum meningkat 13 peratus tetapi tidak adil untuk harga barangan naik sehingga 30 peratus,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata Mohd Shahar lagi, laporan Bank Dunia baru-baru ini terkait peningkatan pengangguran berkaitan kemahiran (SRU) meningkat daripada 27 peratus pada 2010 kepada 37 peratus pada 2022.

“Saya akui kerajaan telah memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran graduan, dan ini amatlah baik. Namun, ingin menekankan bahawa, dalam usaha untuk mencapai pendidikan berkualiti tinggi dan melahirkan graduan yang bersedia untuk dunia pekerjaan, kita tidak boleh melupakan aspek yang sama penting iaitu peningkatan kemahiran pensyarah.

“Pensyarah bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga bertindak sebagai agen perubahan dalam membentuk generasi masa hadapan. Mereka perlu dibekalkan dengan kemahiran terkini, agar dapat menghasilkan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran dalam dunia yang semakin kompleks dan dipacu oleh teknologi.

“Peruntukan yang lebih besar mesti diberikan kepada latihan dan peningkatan kemahiran pensyarah dalam teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), big data, automasi, dan Internet of Things (IoT),” ujarnya lagi.

Oleh itu, kata beliau lagi untuk memastikan negara terus berdaya saing di peringkat global, pelaburan dalam bakat pensyarah mesti diberi keutamaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit