Pemuda UMNO Hargai Usaha Keras Presiden Untuk Perkasakan TVET – Azman Azeez
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha keras memastikan TVET dapat menyokong ekonomi negara.
Menurut beliau, kepimpinan Timbalan Perdana Menteri ini sentiasa berusaha untuk memastikan latihan TVET ini lebih inklusif dan meluas termasuk kawasan luar bandar.“Semoga segala inisiatif pemerkasaan TVET ini mencapai sasaran untuk menjadi pilihan utama kerjaya dan dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Azman yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling menjelaskan peruntukan TVET yang dinaikkan kepada RM7.5 bilion selari dasar TVET Negara yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan secara holistik bermula tahun ini sehingga 2030.
“Kerangka Ekonomi Madani penekanan besar terhadap pembangunan dan pengukuhan TVET antara langkah penting yang diumumkan termasuk kerjasama strategik antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta untuk memperkukuh latihan TVET.
“Program-program ini bertujuan mempersiapkan tenaga kerja yang lebih cekap dan berdaya saing dalam bidang seperti teknologi digital, tenaga hijau, serta sektor-sektor ekonomi bernilai tinggi,” katanya lagi.
Seterusnya tambah Azman, pelbagai inisiatif turut diberikan oleh kerajaan yang melibatkan transformasi latihan dan kurikulum.
“Inisiatif ini juga melibatkan transformasi struktur latihan dan kurikulum, serta memberi fokus kepada meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan, automotif, dan hospitaliti.
“Kerajaan turut merancang untuk menyediakan lebih banyak tempat latihan industri dan memperkasa institusi TVET dengan sokongan teknologi moden,” ujarnya.
Pada Jumaat, dalam Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keutamaan TVET diberikan bagi meningkatkan kerjasama dengan industri; menyediakan peluang latihan untuk belia rentan termasuk kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman dan Orang Asli selain membawa khidmat TVET bagi manfaat masyarakat.
Ini termasuk dana pendidikan sebanyak RM1.2 bilion kepada 77,000 pelajar kolej vokasional dan sekolah menengah teknik – UMNO Online