UMNO Kedah Desak Menteri Besar Tamatkan ‘Wayang Politik’ Dalam Bola Sepak Negeri – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 19 Okt – UMNO Kedah mendesak agar bola sepak negeri terbabit diselamatkan dengan kadar segera, dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu segera menamatkan ‘wayang politik’, kata Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Beliau yang juga Jurucakap Khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menjelaskan UMNO Kedah memohon agar semua pemegang taruh bola sepak negeri Kedah seperti persatuan-persatuan dan kelab-kelab penyokong bersatu hati memberi tekanan terhadap Menteri Besar.

“UMNO Kedah memohon agar semua pemegang agar bersatu hati memberi tekanan terhadap Menteri Besar yang juga Presiden Bola Sepak Kedah (KFA) yang tidak henti-henti memberi alasan tidak punyai sebarang kuasa kerana Kedah Darul Aman (KDA FC) dimiliki badan swasta untuk tidak terus-menerus memberi alasan dangkal ini.

“Hakikatnya alasan wakil Kerajaan Negeri yang juga exco serta ceo KFA dalam Ahli Lembaga Pengarah KDA FC yang menjadi simbol di atas dokumen adalah tidak matang serta tidak boleh diterima sama sekali.

“UMNO Kedah juga menyeru agar peminat dan rakyat negeri Kedah terus menyokong pasukan bolasepak negeri dalam apa jua keadaan. UMNO Kedah berpandangan pemain, pengurusan dan kakitangan KDA FC perlu terus menerus diberi sokongan tanpa sebarang halangan dan alasan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok melihat senario kelembapan sambutan perlawanan di Stadium Darulaman adalah satu bencana yang bakal menimpa industri Bola sepak negeri.

“Sambutan hambar menjelang pertemuan KDA FC bersama Terengganu adalah sangat membimbangkan. Senario ini juga membawa satu petunjuk bahawa peminat sudah muak dan tidak lagi menaruh harapan kepada pasukan bolasepak negeri.

“UMNO Kedah sedia maklum akan beberapa siri pertemuan pengurusan KDA FC bersama Menteri Besar yang juga Presiden KFA. Namun apa yang menjadi persoalan, maklum balas yang diperolehi hakikatnya hambar dan tidak menyakinkan,” tegasnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit